RANAU: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan parti tempatan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menuntut hak-hak negeri ini.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, langkah itu selari dengan suasana politik di Sarawak di mana parti tempatan berjaya bersatu mengikut satu gabungan iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Apa yang berlaku dengan suasana politik Sarawak itu, sedang dilakukan di Sabah. Kita bergabung dengan parti tempatan untuk menuntut hak Sabah walaupun ada parti tiada kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian PBS Kundasang, Karanaan dan Paginatan di Dewan Tokong Cina Ranau, di sini, hari ini.
Katanya, PBS berterima kasih kerana dapat bekerjasama dengan parti lain yang berkongsi matlamat dalam memperjuangkan keadilan serta kepentingan wilayah Sabah.
Dr. Joachim berkata, PBS kini memilih untuk bekerjasama secara erat dalam GRS demi mengelakkan perpecahan politik.
Beliau mengakui PBS pernah memerintah secara solo Sabah namun keadaan sekarang amat berbeza.
“PBS akan bekerjasama dengan semua parti tempatan dalam GRS, kerana lebih baik kita bersatu daripada berpecah. Perpecahan hanya merugikan dan memberi manfaat kepada lawan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau percaya GRS berpotensi menjadi gabungan dominan di Sabah dan jika diberikan mandat sekali lagi mampu meningkatkan hasil negeri serta memperkukuh pembangunan demi kesejahteraan rakyat. – UTUSAN









