KEPALA BATAS : Sepasang suami isteri warga Thailand nyaris maut selepas kereta yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam sebuah parit di Kilometer 126, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara di sini, hari ini.
Difahamkan, pasangan tersebut bagaimanapun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar sendiri daripada kenderaan terbabit selepas kemalangan berlaku.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira 5.50 pagi tadi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas diketuai Komander Operasi iaitu Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Rodzi Mat Saad kemudian segera dikerah ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic FD yang dinaiki oleh pasangan warga Thailand. Kedua-dua mangsa bagaimanapun dilaporkan selamat dan tidak ada mangsa yang tersepit dalam kereta berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan juga, ketika kejadian, jalan licin akibat hujan lebat dan pasangan terbabit dalam perjalanan pulang ke Thailand dari Lumut, Perak.-UTUSAN