KUALA LUMPUR: Malaysia berisiko kehilangan pasaran utama di Amerika Syarikat (AS) sekiranya eksport produk semikonduktor menjadi kurang kompetitif akibat pengenaan tarif oleh negara berkenaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) , Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, mengikut data pada 2024, jumlah eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia ke AS berjumlah hampir RM120 bilion.
Ia mewakili kira-kira 20 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport E&E negara, dengan eksport semikonduktor sahaja bernilai kira-kira RM60.6 bilion.
“Industri ini penting, ia melibatkan kira-kira 72,000 tenaga kerja mahir dan disokong oleh lebih kurang 7,200 pembekal tempatan terdiri daripada syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Limpahan manfaat industri E&E dan semikonduktor turut menyumbang kepada pertumbuhan sektor automotif, peralatan perubatan, tenaga boleh baharu (TBB), digital dan aeroangkasa di Malaysia.
“Sekiranya semikonduktor dikenakan (tarif) di bawah Seksyen 232 atau berlaku perubahan dasar pada masa hadapan, kesan kepada negara akan menjadi sangat ketara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang meminta kementerian menjelaskan laporan Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif 100 peratus kepada semikonduktor dan cip yang dieksport ke negara itu.
Tengku Zafrul berkata, beberapa langkah mitigasi sedang dijalankan ketika ini, antaranya berunding secara aktif dengan pihak A S, mengadakan libat urus bersama bank-bank eksport utama dan industri berkaitan terutama dalam rantaian tersebut.
“Selain itu, kerajaan juga menggalakkan pemain industri untuk memperluaskan pasaran eksport ke negara-negara alternatif dan kita akan memantau perkembangan ini secara rapat, berunding secara proaktif,” katanya. – UTUSAN










