KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil langkah proaktif jangka pendek untuk mengurangkan impak dan risiko kepada prestasi pelaburan dengan melaksanakan pengagihan semula modal secara selektif ke pasaran.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, langkah itu juga diambil terhadap sektor yang menunjukkan ketahanan ekonomi tinggi serta prospek pertumbuhan jangka panjang yang kukuh.
Beliau berkata, proses itu disokong oleh mekanisme pengimbangan semula portfolio yang dinamik dan rangka kerja pengurusan risiko komprehensif, membolehkan KWSP bertindak proaktif terhadap perubahan pasaran serta mengekalkan pendedahan risiko pada paras yang terkawal.
“KWSP mengamalkan strategi pelaburan berdisiplin berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan pengagihan dana pelaburan dibuat secara optimal dalam pelbagai kelas aset, geografi, mandat dan strategi dengan mengambil kira had toleransi risiko yang telah ditetapkan.
“Ini dapat memastikan prestasi pelaburan yang kukuh dan mampan dapat dikekalkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai strategi KWSP dalam menyusun semula peruntukan aset pelaburan bagi menjamin pulangan yang mampan dan mengurangkan risiko ekoran ketidaktentuan pasaran global.
Untuk rekod, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM18.31 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2025, turun 13 peratus berbanding RM20.99 bilion yang dicatatkan untuk suku yang sama pada 2024.
Hui Ying berkata, KWSP kekal komited untuk terus memberi pulangan yang kompetitif kepada para pencarum meskipun menghadapi persekitaran pelaburan yang semakin mencabar.
Katanya, KWSP sentiasa memberi keutamaan dan sokongan kepada pasaran tempatan serta melabur secara aktif dalam pasaran bon dan saham tempatan.
“Salah satu dari fokus pelaburan domestik pada masa kini adalah untuk meningkatkan pelaburan dalam pasaran persendirian yang merangkumi Ekuiti Persendirian, Hartanah dan Infrastruktur.
“Pelaburan dalam kelas-kelas aset ini mampu memberi pulangan yang kompetitif serta memberi sumbangan kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










