PARLIMEN: KPK rancang mohon RM280 juta untuk pekebun kecil sawit

PARLIMEN: KPK rancang mohon RM280 juta untuk pekebun kecil sawit

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan melaksanakan pembentangan khas bagi meningkatkan pembiayaan daripada RM100 juta kepada RM280 juta setahun selama lima tahun berturut-turut melalui Program Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, peruntukan itu bagi menyokong sebahagian keperluan penanaman semula sawit oleh pekebun kecil persendirian.

Katanya, tambahan pembiayaan itu dapat meningkatkan kadar penanaman semula sawit daripada 0.7 peratus kepada tiga peratus sekali gus berpotensi meningkatkan pengeluaran dan pendapatan pekebun kecil.

“RM100 juta sebelum ini dibahagikan kepada pekebun kecil persendirian. Dengan pembiayaan RM280 juta setahun selama lima tahun, kita menjangkakan kadar penanaman semula dapat melepasi paras tiga peratus,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari berkata, terdapat 1.5 juta hektar ladang sawit diusahakan pekebun kecil sama ada secara persendirian atau melalui organisasi. 

“Jika setiap pekebun kecil dapat meningkatkan pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) sebanyak dua tan, ia boleh menjana tambahan pendapatan kira-kira RM2.5 bilion.

“Sekiranya penanaman semula dilakukan secara konsisten dengan penggunaan benih dan klon berkualiti serta amalan pertanian baik, tambahan hasil boleh mencapai lapan hingga 10 tan sekali gus berpotensi menjana sehingga RM10 bilion kepada semua pekebun kecil,” katanya.

Beliau berkata, penanaman semula kini menjadi penting kerana dasar baharu kementerian tidak membenarkan pembukaan kawasan baharu termasuk penebangan hutan bagi memastikan produk sawit mendapat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan boleh dieksport ke pasaran antarabangsa terutama Eropah.

Menurut beliau, sekiranya penanaman semula tidak dijalankan, pengeluaran dan pendapatan eksport negara akan terjejas. 

“Hampir 520,000 hektar ladang sawit sudah tua dan perlu diganti bagi mengekalkan hasil pengeluaran.

“Jika penanaman semula hanya dikekalkan pada kadar minimum empat peratus setahun, ia akan menjejaskan pendapatan negara daripada eksport sawit yang merupakan penyumbang terbesar. Nilai eksport pada 2024 mencecah hampir RM120 bilion, namun ladang yang tua boleh menurunkan hasil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN