KUALA LUMPUR: Penggunaan MyKad, aplikasi e-dompet serta aplikasi syarikat minyak sedang diperhalusi kerajaan sebagai antara kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 kepada rakyat.
Kementerian Kewangan berkata, pelaksanaan mekanisme itu bakal diumumkan dengan lebih terperinci menjelang akhir September ini selaras dengan komitmen kerajaan memastikan subsidi diagih secara lebih berkesan tanpa membebankan rakyat.
“Kerajaan sedang merangka kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.
“Antara pendekatan yang dipertimbang termasuk penggunaan MyKad, aplikasi e-dompet dan aplikasi syarikat minyak sebagai medium pelaksanaan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, hari ini.
Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN–Bera) berhubung mekanisme penyasaran subsidi RON95 dan kaedah untuk mengenal pasti golongan yang layak menerimanya.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan memberi jaminan sekurang-kurangnya 85 peratus rakyat Malaysia tidak akan terkesan secara langsung daripada pelaksanaan dasar baharu itu.
“Hanya bukan warganegara serta mereka yang benar-benar berkemampuan akan dikecualikan daripada menerima subsidi,” katanya. – UTUSAN










