PARLIMEN: Bangladesh sumber pekerja asing terbesar di Malaysia

PARLIMEN: Bangladesh sumber pekerja asing terbesar di Malaysia

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bangladesh menjadi negara sumber tertinggi pekerja asing berkemahiran rendah di Malaysia dengan mencatatkan 803,332 pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif setakat 30 Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu merangkumi 37 peratus daripada keseluruhan pekerja asing di negara ini.

Katanya, selepas sempadan negara dibuka pasca Covid-19, seramai 49,353 pekerja Bangladesh direkodkan memasuki Malaysia pada 2022.

“Pada 2023, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing sebagai mekanisme sementara untuk mempercepatkan dan memudahkan proses pengambilan pekerja asing bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara.

“Hasil pelaksanaan pelan ini, sejumlah 397,548 pekerja asing warganegara Bangladesh baharu direkodkan memasuki Malaysia pada tahun 2023,” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai jumlah pekerja Bangladesh dibawa masuk ke Malaysia pada 2022 dan 2023, selain status mereka sama ada masih bekerja secara sah, menjadi pekerja asing tanpa izin atau pulang ke negara asal.

Menurut Saifuddin, seramai 20,331 pemegang PLKS warga Bangladesh dihantar pulang oleh majikan pada 2022, manakala 23,065 lagi pada 2023.

Dalam tempoh sama, seramai 790 warga Bangladesh ditangkap kerana tinggal melebihi tempoh pas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN