KUALA LUMPUR: Seramai 19,179 guru sekolah menengah dan rendah memilih untuk bersara awal sejak 2022 hingga Mei tahun ini dengan punca utamanya adalah tidak lagi berminat terhadap kerjaya sebagai pendidik.
Berdasarkan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), seramai 5,306 guru bersara awal pada 2,022; 6,394 (2023); 5,082 (2024) dan 2,397 (Mei 2025).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, mengikut pecahan sebanyak 67.44 peratus guru memberikan alasan tidak lagi berminat dengan kerjaya tersebut.
Selain itu, katanya, 17.43 peratus lagi memberikan alasan masalah keluarga, 7.69 peratus mengalami masalah kesihatan, 5.3 peratus disebabkan beban kerja dan 2.08 peratus lagi masalah peribadi.
“KPM sentiasa komited dalam menangani isu kekurangan tenaga pengajar di samping memastikan kesejahteraan guru terus terpelihara.
“KPM melaksanakan pengambilan guru tetap sebanyak dua kali setahun, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) membuka sistem permohonan guru sepanjang tahun bagi mempercepat pengambilan dan penempatan guru,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang bertanyakan berapa ramai guru memilih untuk bersara awal bagi tahun 2022 hingga 2024 dan langkah KPM menangani isu kekurangan guru.
Kah Woh berkata, antara langkah bagi menangani isu kekurangan guru adalah membuat penambahbaikan ke atas fungsi pengurusan di sekolah melalui pewujudan Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) semenjak tahun 2021
Selain itu, katanya, KPM juga membangunkan dokumen Deskripsi Tugas (JD) sejak tahun 2016, yang menjelaskan akauntabiliti tugas secara spesifik serta dapat membantu guru dalam melaksanakan tugas dengan lebih efektif.
“KPM juga telah mengambil pendekatan holistik dan progresif dalam memastikan guru kekal bermotivasi menerusi inisiatif Tujuh Langkah Kesejahteraan Guru. Inisiatif ini berfokuskan kepada pedagogi guru, pentaksiran, pengoperasian sekolah, penilaian peperiksaan dan pengurusan serta pentadbiran sekolah.
“Rumusan laporan tinjauan pelaksanaan Tujuh Langkah Kesejahteraan Guru yang dilaksanakan pada Disember 2024 melibatkan 1,007 buah sekolah di seluruh negara, menunjukkan bahawa pelaksanaan inisiatif tersebut terbukti berjaya dalam keberkesanan pelaksanaannya,” katanya.
Tambahnya lagi, pelaksanaan inisiatif itu juga menunjukkan hasil positif berdasarkan kajian Indeks Kesejahteraan Guru (IKG) pada November 2024 sehingga Januari 2025.
Katanya, kajian tersebut melibatkan seramai 23,625 responden guru yang mencatat skor pada tahap tinggi iaitu 77.65 daripada skala maksimum 100.
“KPM juga memanfaatkan teknologi secara sistematik melalui pelaksanaan Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) dan Sistem Pengurusan Identiti (idMe) yang mengintegrasikan data merentas pelbagai sistem.
“Ini membantu mengurangkan pengisian berulang dan beban perkeranian guru. Di samping itu, pelantar DELIMa menyediakan aplikasi AI, bahan PdP digital, dan latihan kejurulatihan untuk menyokong tugas guru secara lebih efektif dan kreatif,” katanya. – UTUSAN










