Pancaragam 116 tahun Victoria Institution cipta sejarah

Pancaragam 116 tahun Victoria Institution cipta sejarah

PANCARAGAM ancaragam Kor Kadet Victoria Institution bersama Pengetua Abdul Samad Othman dan guru-guru pengiring ketika menyertai World Association of Marching Show Band (WAMSB) 2025 yang diadakan di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pancaragam Kor Kadet Victoria Institution (VICCB) sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila meraih kejayaan cemerlang di pentas antarabangsa pada 2025 World Association of Marching Show Band (WAMSB) yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, dari 8 hingga 10 Ogos lalu.

Kejayaan tersebut mengukuhkan lagi statusnya sebagai salah sebuah pasukan pancaragam sekolah menengah paling berprestij di negara ini.

VICCB berjaya memikat hati juri dan penonton dengan persembahan penuh disiplin, ketepatan, dan kreativiti. Pertandingan berprestij itu menghimpunkan pasukan terbaik dunia termasuk dari Indonesia, Taiwan dan Poland.

Pengarah Pasukan VICCB Nazmi Naim Abd Ghani berkata, pencapaian tersebut adalah hasil kerja keras pasukan.

 

“Kami bangga dapat membawa nama Malaysia ke peringkat dunia dan membuktikan bahawa disiplin, semangat berpasukan, dan muzik mampu menyatukan semua,” katanya.

Antara pencapaian membanggakan VICCB di WAMSB 2025 adalah Juara Divisyen Senior Field Parade, Juara Drum Major Divisyen Senior Field Parade, Tempat ke-3 Komander Padang Showband Divisyen Senior dan Naib Juara Divisyen Senior Marching Show Bands.

 

 

 

 

VICCB yang ditubuhkan pada tahun 1909, kini berusia 116 tahun dan kekal menjadi ikon persembahan beruniform di negara ini .

Sepanjang sejarahnya, pasukan tersebut menyertai pelbagai kejohanan dunia, termasuk di Kanada (2000), Itali (2003), Belanda (2005), Denmark (2015), Taiwan (2018), dan Malaysia (2023–2025).

Sebelum kejayaan di Jakarta, VICCB turut mencipta sejarah peringkat domestik apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Pertandingan Malaysian International Marching Arts Championships (MIMAC) 2025 pada Julai lalu.

Kemenangan tersebut melengkapkan rekod juara tiga tahun berturut-turut (2023–2025), membuktikan penguasaan VICCB di persada tempatan.

 

 

 

Kejayaan tersebut dibantu oleh tujuh jurulatih berpengalaman yang diketuai Nazmi, dibantu Pengurus pasukan Zakaria Patrum.

Turut menjadi tulang belakang adalah Parent Support Group (PSG), VICCB yang diketuai Presidennya Izafarhana Ibrahim, Ketua Guru Penasihat Azmier Azhan, serta Pengetua Victoria Institution, Abd. Samad Othman.

“VICCB bukan sekadar sebuah pancaragam sekolah, adalah institusi pembinaan sahsiah dan kepimpinan. Kemenangan ini membuktikan bahawa dengan usaha gigih, semangat berpasukan dan sokongan padu komuniti sekolah, anak-anak muda kita mampu mencapai kejayaan bertaraf dunia,” ujar Nazmi.

Dengan rekod gemilang ini, VICCB berhasrat terus mengangkat mutu muzik berperarakan negara ke tahap antarabangsa dan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berkarya, berdisiplin, serta mengejar impian tanpa mengenal batasan.

Sementara itu Pemenang Drum Major Terbaik WAMSB Field Parade, Fazrick Faizal tidak menyangka dapat dinobatkan sebagai Juara Drum Major Field Parade.

“Ia adalah satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” ujarnya

Bagi Abd. Samad, beliau berasa berbangga dengan pencapaian VICCB yang telah berlatih dengan penuh dedikasi sehingga berjaya meraih kemenangan di peringkat Kebangsaan dan antarabangsa.

“Kejayaan ini mencerminkan legasi kegemilangan Victoria Institution (VI) sejak 1909, yang terus menjadi kebanggaan warga VI hingga ke hari ini, “ ujarnya.

Bagi seroang pelajarnya Alif Aswad dia berbangga dapat menyertai pertandingan peringkat dunia dan mengharumkan nama sekolah dan negara.

“Ini adalah kenangan yang saya akan ingat sampai bila-bila, “ ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN