KEPALA BATAS: Varieti padi baharu MR 333 yang dinamakan Menora yang dibangunkan khas untuk kawasan jelapang boleh catat hasil sehingga 9.96 sehektar.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Ia dijangka mendapat sambutan dalam kalangan pesawah kerana tempoh matang yang singkat, ketahanan rebah dan berat 1,000 biji yang lebih tinggi kira-kira 30.9 gram sekali gus menjadi faktor penting dalam meningkatkan produktiviti ladang,
Katanya, varieti itu adalah hasil penyelidikan intensif Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang turut disokong melalui peruntukan RM36.1 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan padi dan beras.
“Kajian MARDI mendapati ketahanan MR 333 terhadap penyakit karah membantu mengurangkan keperluan penggunaan racun kimia yang bukan sahaja menjimatkan kos tetapi juga memberi manfaat kepada alam sekitar.
“Selain berpotensi memberikan hasil tinggi serta mempunyai ketahanan terhadap penyakit, kita yakin menerusi pematuhan SOP penanaman yang baik, ia akan memberikan pulangan yang menguntungkan kepada pesawah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan varieti padi baharu di Kampung Lahar Minyak di sini, semalam. – UTUSAN










