KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihukum penjara 10 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah merakam, menyimpan ratusan video dan gambar lucah, tiga tahun lalu.
Tertuduh, P. Naagiran, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Amira Abd. Aziz.
Mengikut pertuduhan pertama, penganggur itu didakwa telah meletakkan kamera tersembunyi di dalam tandas seorang wanita dengan niat menghina kehormatan dan mengganggu kesantunan mangsa sebuah unit pangsapuri di Jalan San Peng, Pudu, di sini pada pukul 9.45 malam, 24 April 2022.
Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 108 video lucah dan 374 gambar lucah di dalam telefon bimbit jenis Samsung A22 di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada pukul 9 pagi, 26 April 2022.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur berkata, perbuatan tertuduh adalah serius kerana menggangu hak peribadi mangsa dan menggugat keselamatan awam.
Bagaimanapun, peguam bela S. Balasubrameniam merayu hukuman paling ringan dikenakan dengan alasan gambar pengadu tidak wujud dalam telefon bimbit tertuduh serta pengakuan bersalah anak guamnya telah menjimatkan masa mahkamah.
Selain itu, peguam itu juga menyatakan rasa khuatir kesihatan ibu tertuduh yang berusia 68 tahun akan terkesan sekiranya hukuman berat dijatuhkan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mahkamah menegaskan bahawa tertuduh yang mempunyai adik beradik perempuan seharusnya mampu membezakan baik dan buruk tindakan yang dibuat.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan bagi pertuduhan pertama berkuat kuasa hari ini manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didenda RM5,000 atau penjara 12 bulan jika gagal bayar.-UTUSAN










