Nelayan didenda RM10,000 cuba suap pegawai maritim bebaskan PATI

Nelayan didenda RM10,000 cuba suap pegawai maritim bebaskan PATI

JAMRI Abdul Razak (kanan) diiringi keluar setelah menghadapi pendakwaan rasuah di Mahkamah Sesyen Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang nelayan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah cuba merasuah seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan wang tunai RM5,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Jamri Abdul Razak, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini. Hakim turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, Jamri didakwa menawarkan wang tunai RM5,000 kepada seorang pegawai Maritim Malaysia bagi mengelak tindakan diambil terhadap tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan kerana tidak memiliki permit sah.

Kesalahan itu dilakukan di Bilik Mesyuarat Operasi, Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Jalan Bukit Malut, kira-kira pukul 1.15 petang pada 22 Jun 2022.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung keluarga termasuk isteri yang sarat hamil.

Mengikut fakta kes, tujuh PATI terbabit ditahan dalam operasi Maritim Malaysia bersama Jabatan Laut di perairan Langkawi. Selepas itu, tertuduh hadir ke pejabat pegawai terbabit untuk menawarkan wang tunai sebagai sogokan bagi membebaskan mereka.

Namun, pegawai berpangkat Penolong Pengarah Kanan berkenaan menolak tawaran tersebut sebelum melaporkannya kepada pihak SPRM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN