MyJalan dinaik taraf pangkalan data nasional

MyJalan dinaik taraf pangkalan data nasional

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Aplikasi MyJalan yang sebelum ini dikenali sebagai saluran aduan kerosakan jalan akan diperluaskan fungsinya menjadi satu pangkalan data nasional yang menyeluruh bagi pengurusan infrastruktur jalan di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, buat masa ini, beberapa libat urus sedang dilakukan antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri akhir tahun ini untuk diluluskan sebagai sebuah pangkalan data.

Katanya, sebagai langkah awal, KKR telah memperkenalkan Tatacara Umum Pengurusan Data Jalan di Malaysia sebagai asas kepada reformasi tadbir urus data jalan.

“Sekurang-kurangnya lima negeri disasarkan untuk berkongsi data jalan menjelang 2026, diikuti lapan negeri lagi pada 2027, agar matlamat integrasi 80 peratus data jalan berintegriti di seluruh negara tercapai menjelang 2030.

“Pangkalan data itu penting dalam pembangunan infrastruktur dan penyelenggaraan jalan-jalan di seluruh negara pada masa depan, malah membantu kita bertindak dengan lebih tepat, segera dan efisien,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, program MYJalan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Ogos 2023 diiktiraf sebagai inisiatif penting Kerajaan Madani untuk memastikan pengurusan jalan raya lebih selamat, sistematik dan inklusif.

Alexander berkata, sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 40,938 aduan berkaitan jalan raya telah diterima di bawah Program MYJalan, dengan 30.4 peratus melibatkan jalan Persekutuan manakala selebihnya 69.6 peratus melibatkan jalan di bawah pentadbiran kerajaan negeri dan pihak lain.

“Antara cabaran utama dalam pengurusan isu jalan ketika ini ialah kekurangan data yang menyeluruh, terutama mengenai isu-isu yang kritikal termasuk permukaan jalan yang kerap mengalami kerosakan dan sistem saliran yang bermasalah.

“Ekosistem data jalan yang holistik merangkumi semua jalan raya di Malaysia secara tuntas dan terangkum kini menjadi keperluan yang mendesak bagi memastikan infrastruktur jalan negara sentiasa berkualiti, mampan, lestari, selamat dan selesa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN