KUALA LUMPUR: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MiSHA) terus memperkukuh peranannya dalam meningkatkan budaya keselamatan di tempat kerja apabila melakukan lawatan ke tapak pembinaan Hyderabad Data Centre anjuran Fluor Daniel (India) Private Limited di Hyderabad, India, baru-baru ini.
Kunjungan delegasi yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Asia Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) MiSHA 2025, Ts. Abd. Mutalib Abd. Gapar itu bagi meninjau pelaksanaan amalan cemerlang KKP di tapak projek tersebut.
Delegasi MiSHA disambut oleh Pengarah Projek Fluor Daniel, Stuart Mosby bersama Pengarah KKP syarikat itu, Semuel Maru yang turut memberi taklimat menyeluruh berhubung pendekatannya terhadap keselamatan tempat kerja.
Abd. Mutalib berkata, lawatan itu bertujuan mengkaji pendekatan Fluor Daniel dalam menguruskan sistem KKP di tapak bina berskala besar khususnya dari sudut budaya kerja selamat, inisiatif penglibatan pengurusan tertinggi serta strategi pencegahan kemalangan yang berkesan.
“Antara amalan cemerlang yang diketengahkan oleh Fluor Daniel adalah budaya tidak menyalahkan mana-mana individu, Ia budaya kerja yang menggalakkan laporan insiden tanpa menyalahkan mana-mana individu. Selain itu mereka melaksanakan Golden Monday and Super Safety Saturday, iaitu program mingguan kesedaran dan penyertaan semua pekerja dalam aktiviti keselamatan.
“Syarikat ini turut mengetengahkan penglibatan langsung pihak pengurusan dalam pemeriksaan tempat kerja secara berkala di samping Mango Day, iaitu inisiatif kebajikan dan penghargaan kepada pekerja,” katanya,
Sementara itu, Abd. Mutalib berkata, lawatan tersebut turut menjadi platform perbincangan awal mengenai penyertaan Fluor Daniel dalam Anugerah Asia Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Prinsip Pencegahan) 2025 anjuran MiSHA.
Katanya, anugerah tahun ini berbeza daripada penganjuran terdahulu kerana penyertaannya diperluas kepada syarikat-syarikat dari pelbagai negara Asia termasuk Indonesia, Myanmar, Thailand, Brunei, Vietnam, Filipina, India dan China.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, penyertaan ke anugerah ini adalah berdasarkan jemputan sahaja dan tidak dibuka secara umum. Hanya syarikat yang disenarai pendek berdasarkan kriteria ketat akan menerima jemputan untuk menyertai anugerah tersebut.
“Antara kriteria utama penilaian ialah mempunyai sistem pengurusan KKP yang mantap dan diperakui, penerapan budaya keselamatan yang menyeluruh di tempat kerja, tiada rekod kematian di tempat kerja dari Januari 2024 hingga Julai 2025 dan pelaksanaan amalan cemerlang KKP yang terbukti berkesan,” katanya.
Pada tahun ini, hanya 50 syarikat terpilih dari seluruh Asia disenarai pendek ke peringkat akhir pengadilan dan hanya 10 syarikat terbaik dipilih untuk mewakili negara masing-masing.
Tema Anugerah MiSHA 2025 adalah Mengungguli Aspek Keselamatan Jalan Raya, menjadikannya antara komponen utama yang diberi perhatian dalam penilaian tahun ini, sejajar dengan peningkatan risiko keselamatan berkaitan pergerakan logistik dan pengangkutan dalam industri pembinaan dan infrastruktur. – UTUSAN