PETALING JAYA: Pelakon, Nur Fazura berpendapat setiap individu perlu normalisasikan untuk meminta kebenaran seseorang terlebih dahulu sebelum mengambil gambar atau merakam video secara rambang.
Menurut Fazura, perkara itu bukan sahaja mendidik seseorang itu menjadi lebih beradab malah, mengajar mereka untuk menghormati dan menjaga privasi orang lain.
“Lindsay Lohan tinggal di Dubai dan dia tegaskan haram untuk ambil gambar seseorang secara rawak.
“Awak benar-benar perlu meminta kebenaran daripada orang itu yang saya fikir adalah satu lagi tahap penghormatan dan privasi. Kita tidak amalkan perkara itu di sini.
“Tapi kan lagi seronok kalau mulakan sapaan dengan adab seperti ‘Assalamualaikum kak, boleh tak nak bergambar?’
“Kalau macam ini, jangan katakan gambar, kakak snap video pun nak dik,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Menerusi hantaran tersebut, pelakon filem Pisau Cukur itu turut menggunakan tanda pagar #adabiseverything dan #makeahugedifference yang menekankan bahawa adab adalah segalanya dan menggesa orang ramai untuk mula lakukan perubahan besar.
Bersetuju dengan pendapat itu, rata-rata peminat meninggalkan pelbagai respons terhadap kenyataan tersebut dan memuji sikap Fazura yang dikatakan sangat ramah dan baik hati setiap kali melayan peminatnya.
“Beradab dalam setiap perkara. Tindakan kecil mampu memberikan kesan jangka masa panjang. Ayuh terus amalkannya dalam kehidupan,” komen seorang pengguna media sosial.
“Betul, ini adalah perkara yang semua orang perlu amalkan. Ia sangat penting untuk menggunakan akal fikiran dan hormat privasi orang lain. Ambil gambar seseorang bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh,” kata seorang netizen.
“Dulu saya pernah minta izin untuk ambil gambar dengan Fazura dalam panggung sewaktu tayangan perdana Gol & Gincu. Fazura siap tawarkan lampu selfie yang comel untuk beri pencahayaan cukup,” kata peminatnya.-UTUSAN