KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan mengambil kira secara terperinci jangka hayat helikopter yang akan disewa untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihak kementerian kini sudah membuka tender untuk penyewaan empat buah helikopter yang akan ditutup pada September ini.
Katanya, tender berkenaan dibuka semula berikutan notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk kepada syarikat sebelum ini yang gagal menyediakan mengikut tempoh ditetapkan.
Menurutnya, penilaian sewaan itu turut akan mengambil kira pandangan-pandangan yang telah dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini.
“Kita memang sudah tamatkan apabila syarikat itu gagal untuk menyediakan helikopter dan kita telah pun mengenakan denda kepada syarikat itu.
“Sekarang ini oleh kerana ada keperluan tentera darat untuk mempunyai penggunaan helikopter maka pihak kementerian sudah pun membuka tender untuk penyewaan empat buah helikopter bagi penggunaan tentera darat.
“Kita akan tengok masa penilaian supaya kita ambil kira pandangan-pandangan yang telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Beramah Mesra bersama Masyarakat Cina Kota Tinggi di Medan Selera di sini, hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, menerusi tender baharu itu pihaknya akan meneliti dan menilai secara terperinci termasuk membabitkan tempoh hayat helikopter.
“Sewaan Black Hawk dulu maknanya, dia sudah tender, dia menang award, kita batalkan award itu kerana dia (syarikat) gagal untuk sediakan. Jadi sebab itulah dia didenda dan kita tarik dia (syarikat) punya wang jaminan.
“Jadi sekarang ini ada tender baru (empat helikopter) nanti kita nilailah. Kita lihat jenis helikopter, berapa umur helikopter itu, berapa harga sewa dan sebagainya.
“Sebab satu-satu jangka hayat helikopter itu panjang. Oleh kerana kita mahu sewa saja, tentunya tidak mudah hendak dapat yang baharu,”katanya. – UTUSAN









