MHO gesa SPRM siasat syarikat pelaburan tipu pelabur program RPS

MHO gesa SPRM siasat syarikat pelaburan tipu pelabur program RPS

HISHAMUDDIN Hashim (kanan) bersama mangsa pelaburan saham berhimpun di depan Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat beberapa syarikat pelaburan yang didakwa menipu ratusan pelabur melalui program pelaburan saham Pra-IPO RPS dan i-RPS.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima sebanyak 685 aduan daripada mangsa yang terlibat dengan skim pelaburan ditawarkan oleh 12 syarikat berbeza.

Beliau berkata, semua syarikat itu memperkenalkan pelaburan saham keutamaan termasuk debentur (instrumen hutang) dan pelaburan produk ‘economic benefits’ yang didakwa memberi pulangan lumayan kepada pelabur.

“Modus operandi yang digunakan oleh syarikat-syarikat tersebut hampir serupa, iaitu dengan menawarkan pulangan dividen tinggi pada peringkat awal pelaburan.

“Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, syarikat terbabit gagal meneruskan bayaran seperti dijanjikan dan memberikan pelbagai alasan bagi melengah-lengahkan tindakan pelabur,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan aduan kepada SPRM, hari ini.

Katanya, ada syarikat menggunakan dokumen palsu dan dakwaan palsu kononnya bayaran tertangguh disebabkan faktor teknikal dan penstrukturan dalaman.

Hishamuddin berkata, sebahagian besar pelabur yang sudah mendaftarkan pegangan saham mendakwa ditipu apabila mendapati dokumen dan pengesahan saham mereka tidak sah atau tidak diiktiraf oleh pihak berwajib.

Menurutnya, anggaran keseluruhan kerugian yang ditanggung oleh mangsa-mangsa terlibat mencecah lebih RM183 juta.

“Perkara ini sangat serius kerana ia melibatkan wang simpanan rakyat termasuk pesara, suri rumah, kakitangan awam dan golongan profesional yang terpedaya dengan janji pulangan tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya memohon SPRM menjalankan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana dipercayai wujud unsur penipuan dan pemalsuan maklumat untuk mengelirukan pelabur.

Jelasnya lagi, mangsa-mangsa turut memberi jaminan untuk bekerjasama penuh dengan SPRM dan akan menyediakan semua dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.

“Kes ini turut pernah dirujuk kepada pihak polis namun sehingga kini tiada perkembangan bermakna terhadap siasatan kes berkenaan.

“MHO tampil bagi pihak mangsa untuk mendesak tindakan lebih tegas kerana ramai pelabur telah kerugian dan tiada pembelaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN