MELAKA: Sistem talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 berjaya mengurangkan jumlah panggilan palsu kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sehingga kurang daripada lima kes setahun.
Pengarah JBPM Melaka, Mohd Zaidi Ma’at berkata, setiap panggilan akan ditapis terlebih dahulu sebelum disalurkan kepada agensi berkaitan.
“Dulu, ketika guna talian 994, panggilan terus masuk ke balai bomba, jadi kes panggilan main-main dan palsu memang banyak.
“Dengan MERS 999, operator akan tapis dan sahkan jenis kecemasan, sekali gus menurunkan jumlah kes kepada empat pada tahun lalu dan dua kes sahaja dicatatkan setakat tahun ini di Melaka,” katanya pada Majlis Penutup Pertandingan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka Tahun 2025 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh di sini, semalam.
Mohd Zaidi berkata, walaupun jumlah menurun, setiap panggilan palsu tetap memberi kesan kerana anggota terpaksa keluar ke lokasi, sekali gus berisiko melambatkan respons terhadap kejadian sebenar.
“Satu saat kelewatan boleh menjadi penentu nyawa. Sebab itu, masyarakat perlu faham panggilan palsu adalah kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).
“Kami bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemanggil,” katanya.
Sementara itu, gabungan enam sekolah di bawah BBP Ayer Keroh muncul juara keseluruhan pertandingan berkenaan. – UTUSAN









