Mereka wajar dikenakan tindakan lebih tegas - Soo Wincci - Utusan Malaysia

Mereka wajar dikenakan tindakan lebih tegas – Soo Wincci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga pencipta kandungan media sosial yang memberi makan nasi bercampur sisa tulang ayam kepada seorang gelandangan baru-baru ini wajar diambil tindakan lebih tegas.

Desakan itu disuarakan penyanyi dan pelakon, Dr. Soo Wincci yang mengakui cukup marah dan terkesan dengan kebiadaban pelaku yang disifatkkannya, keterlaluan.

“Saya marah dengan apa yang ketiga-tiga individu itu lakukan. Tindakan mereka keterlaluan dan menjijikkan.

“Apa kewajaran mereka berbuat demikian? Mereka sangka masyarakat tidak bijak? Tak tahu yang content tersebut mereka buat untuk raih jumlah tontonan yang tinggi?

“Kita boleh baca strategi mereka, hasilkan kandungan yang biadab kemudian membuat permohonan maaf. Pada saya mereka sangat melampau.

“Ini bukan kali pertama pelaku-pelaku ini buat kandungan seperti itu. Jadi mereka wajar dikenakan tindakan lebih tegas,” katanya.

Wincci berkata demikian selepas sidang media dan tayangan drama Kerana Seorang Lelaki petang tadi.

Tiga lelaki tempatan berkenaan dihujani kecaman kerana memberi seorang gelandangan makan nasi bercampur sisa tulang ayam .

Lebih melampau apabila tindakan menjijikkan itu dirakam pelaku dan dijadikan kandungan media sosial.

Dalam pada itu, Wincci berharap lebih ramai pihak tampil bersuara mengutuk kebiadaban pencipta kandungan terbabit agar tindakan mereka tidak menjadi ikutan.

“Mereka ini tidak layak mendapat simpati masyarakat. Kita kena sama-sama melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa agar pelakunya diambil tindakan setimpal.

“Tolonglah jangan buat tindakan sedemikian semata-mata untuk kandungan media sosial. Hentikanlah sebab sudah terlalu banyak kandungan melampau seperti ini di platfom dalam talian.

“Lebih menakutkan lagi jika tindak tanduk mereka ini menjadi ikutan dan dicontohi golongan kanak-kanak. Saya harap semua ini jadi pengajaran kepada masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN