PETALING JAYA: Penasihat sebuah pusat rawatan swasta, Ruzita Alias, menjelaskan video yang tular memaparkan pelakon, Roy Azman mengamuk di sebuah klinik adalah sebahagian daripada video kempen hari kemerdekaan mereka.
Jelas Ruzita, Roy diminta berlakon untuk menunjukkan perbandingan dua jenis sikap pelanggan iaitu yang pemarah dan berbudi bahasa.
“Bagaimanapun, video itu masih di fasa suntingan kerana penggambaran dilakukan pada 29 Julai lalu. Saya tidak pasti siapa yang telah membocorkan dan memuat naik potongan klip memaparkan Roy marah-marah sahaja.
“Saya harap ia tidak menimbulkan salah faham. Roy cuma berlakon untuk menunjukkan dua jenis situasi iaitu satu yang baik, satu lagi yang kurang baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Ruzita turut menegaskan bahawa Roy atau Zairosminan Abdul Rahman, 55, seorang selebriti yang merendah diri dan bukan seorang pemarah seperti dalam video tersebut.
“Roy Azman seorang yang baik, tidak pemarah dan mudah bekerjasama. Sepatutnya kami belikan dia makanan, dia duduk sahaja di lokasi penggambaran. Tapi dia merendah diri mahu ikut kami pergi makan sekali.
“Dia juga kelakar orangnya,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial, seorang lelaki mirip pelakon, Roy Azman, mengamuk di sebuah klinik dengan memarahi seorang petugas perempuan. -UTUSAN