MCMC cadang bangun sistem amaran bencana lebih efisien

MCMC cadang bangun sistem amaran bencana lebih efisien

TEO NIE CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merancang membangunkan sistem hebahan yang menyalurkan amaran bencana secara terus kepada penduduk di kawasan terjejas.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sistem yang akan dibangunkan ini membolehkan penduduk menerima notifikasi dengan lebih pantas tanpa melalui perkhidmatan syarikat telekomunikasi mengenai ancaman bencana alam yang berlaku.

Katanya, inisiatif membangunkan sistem amaran bencana tersebut diharap dapat dimasukkan ke dalam Belanjawan 2026 seterusnya diguna pakai dalam masa terdekat.

“Menerusi sistem itu, notifikasi amaran bencana akan dihantar terus kepada penduduk di lokasi terjejas dengan lebih cepat berbanding menggunakan sistem pesanan khidmat ringkas (SMS).

“SKMM sedang mengkaji nak bangunkan perkhidmatan boleh hantar terus notifikasi selepas SKMM terima maklumat daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung satu-satu bencana yang berlaku,” katanya ketika ditemui pada Majlis Serahan Sumbangan Murid Cemerlang dan Pendidikan Pelajar di Dewan Terbuka Jalan Merbuk, Bandar Putra di sini, hari ini.

Nie Ching berkata, pada ketika ini, pihaknya perlu bergantung kepada perkhidmatan syarikat telekomunikasi untuk hantar SMS berkenaan.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata, sistem seumpama itu banyak digunakan di negara luar lebih-lebih lagi negara yang sering ditimpa bencana alam seperti di Jepun dan di Amerika Syarikat (AS).

“Amaran bencana yang dihantar menggunakan SMS melalui syarikat telekomunikasi dilihat akan mengambil sedikit masa dan tidak tertumpu khusus buat penduduk di kawasan terjejas.

“Sistem baharu ini, ia akan hantar notifikasi terus fokus pada lokasi yang kita terima maklumat daripada NADMA, jadi notifikasi itu dapat dihantar dengan cepat ke kawasan itu. Kita lihat ia sangat berkesan dan berguna,” katanya.

Terdahulu, gegaran gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dilaporkan berlaku di Segamat pada pukul 6.13 pagi tadi, manakala gegaran gempa bumi lemah kedua bermagnitud 2.8 direkodkan berlaku di Kluang pada pukul 9 pagi hari ini.

Beliau berkata, tiada sebarang aduan berhubung gangguan telekomunikasi diterima susulan bencana gempa bumi di dua daerah berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN