Materialist: Menghitung berapa harga jatuh cinta - Utusan Malaysia

Materialist: Menghitung berapa harga jatuh cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN satu perkara yang kita harus akui, (walau tidak semestinya kita sedari) ialah banyak keputusan sehari-hari kita dipengaruhi dengan algoritma. Makan di mana, cafe paling hit, artis paling popular, fesyen paling terkini sehinggalah perkara seintim cara menghadapi majikan berperangai pelik.

Algoritma bekerja mengikut apa yang kita suka, perlu, minat, cita rasa sehingga apa yang sedang kita cari. Berita baiknya, ia diperoleh dengan sekelip mata. Berita buruknya pula, ia diperoleh dengan sekelip mata.

Dengan segala kebaikan dan keburukan yang berjalan seiringan, hidup terasa semakin laju. Kita terbiasa mendapatkan apa yang kita mahu dengan segera. Kita terlupa untuk bertenang, menunggu, merenung dan paling mustahak dengan mudah beranggapan hidup harus bergerak seperti apa yang kita mahu. Termasuklah bagaimana dan dengan siapa kita ingin jatuh cinta.

Materialist cuma membahaskan itu yang ditulis serta diarahkan pengarah kesukaan saya, Celine Song. Selepas Past Lives yang tercalon untuk Anugerah Oscar, Celine menuangkan pengalamannya yang pernah bekerja sebagai matchmaker atau pencari jodoh untuk naskhah terbaharunya ini. Materialist bukan cerita romantik komedi biasa. Ini realiti yang agak brutal tentang kemiskinan, tentang bagaimana kita menilai cinta dan hidup.

Saya seolah-olah dapat melihat isi fikiran Celine menerusi karakter Lucy, seorang pencari jodoh di New York; kota yang isinya sibuk dengan hal-gal material. Material bukan sahaja tentang duit, tapi juga keinginan memenuhi standard kecantikan dan kejantanan. Cinta dan perkahwinan menjadi sebuah ‘industri’, bermaksud ada barang dagangan, habuan dan sesuai permintaan apa yang diinginkan.

Lelaki tinggi, kaya, boleh bawa ke tempat mewah, setia, tubuh sasa. Perempuan muda bawah 30-an, pinggang ramping, mudah diatur, wajah cantik. Kita menulis senarai dan mahu cinta hadir seperti yang kita inginkan. Persis algoritma yang ada di hujung telefon bimbit kita.

Sedangkan memetik Lucy, jatuh cinta sama seperti ‘disambar petir’, tapi pelik, kita seolah boleh atur petir bagaimana kita mahu. Sedangkan manusia sebuah ciptaan yang kompleks, mereka bukan rumah atau kereta yang boleh ‘dibuat’ sesuai tempahan.

Sangat menyedihkan apabila filem ini mengupas ada yang sanggup melakukan pembedahan untuk lebih tinggi atau dapatkan hidung lebih mancung agar diri mereka lebih laris di pasaran.

Mereka percaya, setiap manusia ada ‘level’ masing-masing, paling tinggi dipanggil ‘unicorn’, selebihnya hiasan sahaja. Bukankah itu juga sangat material?

Namun Lucy walaupun sudah memperoleh jejaka bertaraf ‘unicorn’ bernama Harry, dia mula meneka-neka isi hatinya. Di tengah malam dia termenung, walaupun Harry di ranjang yang sama namun hatinya masih tetap berbolak-balik. Selama ini dia tidak mencintai Harry, mungkin cuma menyukai tempat-tempat yang Harry bawa sepanjang bercinta. Harry tidak pernah memandang matanya atau bertanya bagaimana harinya.

Lucy serabut dengan John kerana lelaki itu tidak sekaya yang diinginkan Lucy. Tapi John sudah berusaha semampunya untuk mendapat kerja lebih bagus, cuma bandar sebesar dan semewah New York tidak selalu berbaik hati untuk lelaki dari keluarga porak-peranda sepertinya. Berbeza dengan Harry yang mewarisi kekayaan keluarga.

Dalam kesederhanaan hidup, Harry mengenal mata Lucy yang terluka, memandu berjam-jam ketika Lucy bersedih, menunggunya sehingga pagi di depan pintu dan menyediakan bir dan cola minuman kesukaan Lucy sebelum dia minta. Cuma Harry tidak memenuhi ‘kotak senarai’ kekayaan standard yang dinginkan dalam pasaran industri percintaan.

Materialist cuba mengubah cara pandang itu namun tidak pergi terlalu dalam. Ia masih cerita yang menghiburkan namun sarat wacana.

Sebab diakhirnya, menurut Lucy dan Harry, perkahwinan bukan tentang siapa untung atau rugi. Tapi selama mana kita boleh hidup bertoleransi dengan seseorang sampai hujung nafas. Tidak semua orang berkahwin kerana sunyi, mungkin mereka cuma mahu membuktikan ada cinta lebih kekal dan setia berbanding rapuhnya perkahwinan ibu bapa mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN