Marry My Husband Japan: Hidangan yang sempurna - Utusan Malaysia

Marry My Husband Japan: Hidangan yang sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA difikir-fikir, sangat tidak mudah untuk mengalahkan rekod cemerlang Marry My Husband (MMH) yang sudah pun mencipta fenomena ketika ia ditayangkan 16 episod di Korea Selatan. MMH ketika itu meraih kejayaan sebagai drama Korea nombor satu sejak pelancaran di laman penstriman Prime Video 2016 serta menjadi drama Korea kedua paling banyak dicari secara global pada 2024 selepas Queen Of Tears.

MMH memang pada asalnya sebuah webtoon yang sangat popular pada 2021. Penu­lisnya, Sung So-jak kemudian menjual hak adaptasi lebih daripada satu negara. Jepun terlebih dahulu sudah menunjukkan minat untuk melakukan adaptasi walaupun ditayangkan lebih lambat berbanding versi Korea Selatan.



Marry My Husband Japan
(MMHJ) diterajui pasukan yang hebat. Satomi Ôshima yang terkenal dengan sentuhan lakon layar yang menyentap perasaan (melihat kejayaan 1 Litre of Tears, Sayonara, Maestro!) diberi tanggungjawab mengolah skrip manakala sutradara yang akan menentukan kejayaan keseluruhan siri ini digalas Ahn Gil-ho, juga bukan calang-calang melihat hasilnya dalam The Glory.

Saya tidak pernah membaca versi asal tulisan Sung So-jak, oleh itu segala pengamatan saya hanya tertumpu kepada MMH yang sudah melalui proses real live adaptation baik versi Korea Selatan atau Jepun. Walaupun jalan ceritanya sama, seorang wanita yang dicurangi kembali ke masa lampau untuk membetulkan pilihannya. Namun sentuhan dan gaya bercerita yang ditunjukkan MMHJ sangat berbeza, mereka seperti mencabut keseluruhan abdomen – baik karakter, artifak, jalan, warna dalam drama ini untuk diberikan latar yang lebih konkrit.

MMHJ tidak sekadar ‘menggantikan’ hal-hal bersifat fizikal (kopi ais, tonkatsu, kucing) yang ada dalam versi Korea Selatan kepada barang-barang Jepun (kedai teh, matcha, kintsuba, kura-kura) untuk meyakinkan penonton ini drama versi Jepun. Namun Oshima dengan segala kecerdikannya memasukkan ‘roh’ dan ‘jiwa’ ke dalam karakter sekali gus menjadikan drama ini terasa sangat Jepun sekali. Sungguh, tidak banyak yang pintar melakukan itu.

Suzuki (Takeru Satoh) dan Misa (Fuka Koshiba) diberikan cerita yang lebih menarik bagaimana takdir mereka sebenarnya pernah saling berselisih, ditemukan semula untuk lebih berani memperjuangkan perasaan masing-masing.

Misa dalam versi Jepun tidak dibentuk menjadi perempuan penyedih, tapi pendendam. Dia tak banyak menangis di depan orang berbanding Ji-won. Namun begitu, Misa tidak savage, tapi berkelas.

Ketika menuturkan ayat ikonik ‘terima kasih mengambil sampah yang pernah saya buang’, Misa memadamkan mikrofon namun kalimah itu hanya didengar Reina. Itu lebih pedih dan mengguris.

Karakter Suzuki pula nampaknya dihadirkan dengan sentuhan berbeza berbanding versi Korea. Dia tidak hanya wujud sebagai hero kepada Misa, tapi juga mempunyai dilema dan ‘sumpahan’ yang terpaksa diselesaikan sendirian.

Dalam fikiran Suzuki, dia semacam sedang bermain dengan hukum metaforik law of conservation, iaitu merasa ada yang akan hilang ketika menggengam sesebuah kebahagiaan.

Perkara itu membuatkan tiga episod akhir drama ini begitu beragam sekali gus membuat penonton faham mengapalah jejaka itu tidak meluahkan cintanya cepat-cepat kepada Misa walau takdir sudah memberikan peluang kedua. Begitu juga Misa dan Riena yang akhirnya mengetahui di manakah letak punca persahabatan toksik mereka bermula.

Baik versi Korea Selatan atau Jepun, mereka mempunyai kekuatan kerana bijak memilih pelakon yang benar-benar tahu menjelmakan karakter itu dilayar. Namun begitu, saya berpendapat, MMHJ yang hanya mempunyai 10 episod terasa lebih mengenyangkan, cukup lemak, dan sempurna untuk dihidangkan kepada dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN