Mara lantik pesara polis, tentera warden MRSM

Mara lantik pesara polis, tentera warden MRSM

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) melantik pesara polis dan tentera sebagai warden di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi membendung gejala buli serta menangani kes-kes disiplin dengan lebih berkesan.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia merupakan inisiatif terbaharu Mara untuk memastikan isu buli dan kes-kes disiplin lain dapat dikekang di samping menjamin persekitaran pembelajaran yang selamat di MRSM dan sejahtera buat semua pelajar.

Beliau berkata, warden yang dipilih sudah melalui siri tapisan, termasuk sesi temu ramah komprehensif bagi memastikan pesara anggota beruniform itu benar-benar memenuhi kriteria digariskan Mara.

“Dalam amanat saya kepada mereka sebelum memulakan tugasan minggu ini, antara lain saya mengingatkan bahawa asrama MRSM ialah rumah kedua anak-anak MRSM.

“Di sinilah mereka belajar mengenai tertib dan adab hidup bermasyarakat, mengurus masa, amanah dan tanggungjawab.

“Justeru, peranan warden bukan sekadar menjaga rutin harian, tetapi menjadi pendidik watak ‘ibu bapa kedua’ yang memastikan keselamatan terjaga, disiplin terbina dan kasih sayang terbudaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asyraf berkata, kumpulan pertama warden MRSM dilantik dalam kalangan pesara polis dan tentera itu akan memulakan tugas di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang, mulai Isnin ini.

Beliau turut mengulangi penegasan sifar toleransi terhadap salah laku, selain pendekatan perlu dilakukan secara mendidik, memulih dan adil.

“Moga-moga MRSM boleh menjadi model sekolah berasrama di peringkat nasional, selamat, berdisiplin, beradab dan membahagiakan.

“Tegas pada prinsip, hikmah pada pendekatan. Dengar sebelum menghukum, nasihat sebelum menegur, memulih sebelum mendisiplin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×