GUA MUSANG: Seorang wanita menarik nafas lega apabila wang berjumlah RM2,600 yang hilang akibat penipuan tawaran kerja tidak wujud dikembalikan menerusi perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Gua Musang di sini, hari ini.
Perintah tersebut dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Gua Musang, Wan Suriani Wan Mohamed mengikut Seksyen 413 (2) Kanun Tatacara Jenayah.
Permohonan perintah tersebut dikemukakan oleh Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhamad Faris Mohd. Yunus dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.
Sebelum itu, mangsa membuat laporan polis selepas terpedaya dengan tawaran yang dibuat melalui aplikasi WhatAps itu di IPD Gua Musang selepas menyedari di tipu pada 21 Disember tahun lalu.
Mangsa kemudian menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 dan berjaya menyekat transaksi tersebut dengan bantuan agensi berkenaan.
Sementara itu, wanita yang mahu dikenali Ira, 37, meluahkan rasa syukur dengan perintah dikeluarkan oleh mahkamah.
“Terima kasih kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Kontinjen Kelantan, BSJK IPD Gua Musang dan NSRC yang telah membantu saya dalam menyelesaikan kes ini.
“Saya harap kejadian yang menimpa saya ini dapat dijadikan pengajaran agar orang lain tidak menjadi mangsa seterusnya,” katanya. – UTUSAN










