Malaysia kecam propaganda 'Greater Israel', kutuk pembunuhan sengaja wartawan di Gaza

Malaysia kecam propaganda ‘Greater Israel’, kutuk pembunuhan sengaja wartawan di Gaza

PENUNJUK perasaan memegang poster Benjamin Netanyahu sebagai Hitler semasa demonstrasi membantah kekejaman Israel di Sydney, Australia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kenyataan terbaharu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang mempropagandakan visi peluasan wilayah haram yang dikenali sebagai ‘Greater Israel’.

Ini termasuk perancangan kelulusan pembinaan ribuan unit penempatan haram di kawasan E1 antara Baitulmaqdis dan Ma’ale Adumim di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Menurut Kementerian Luar, tindakan yang dirancang ini merupakan pelanggaran nyata terhadap Konvensyen Geneva Keempat dan bertujuan mengukuhkan pendudukan haram Israel ke atas OPT.

“Projek E1 bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.

“Tujuan utamanya adalah memecahbelahkan Tebing Barat, menghapuskan kedaulatan Palestin, dan sekali gus menghancurkan penyelesaian dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan sengaja wartawan dan petugas media di Semenanjung Gaza yang merupakan pelanggaran berat terhadap undang-undang antarabangsa.

Katanya, ia adalah pencabulan terang-terangan terhadap Resolusi 2222 Majlis Keselamatan PBB

mengenai perlindungan wartawan di kawasan konflik.

Jelasnya, serangan yang disasarkan ini adalah sebahagian daripada kempen sistematik rejim Zionis Israel untuk membungkam laporan bebas, menyekat aliran maklumat berkaitan keganasan pelampau penempatan haram.

“Ini termasuk mahu menyembunyikan jenayah perang dan tindakan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlangsung di OPT.

“Malaysia kekal teguh dalam komitmennya terhadap perjuangan rakyat Palestin dan akan terus berusaha ke arah penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan

pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.

Dalam hal ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa mesti bertindak segera bagi menghentikan segala usaha haram rejim Zionis Israel dan memastikan hak-hak asasi, keselamatan serta kebebasan rakyat Palestin terpelihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN