JOHOR BAHRU: Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam) tidak teragak-agak untuk membawa isu tuntutan hak milik kekal Tanah Rizab Melayu (TRM) ke mahkamah sekiranya semua ruang penyelesaian gagal.
Pengerusinya, Abdul Rahim Md. Shariff berkata, perkara itu adalah salah satu daripada tiga usul diluluskan secara sebulat suara pada mesyuarat agung tahunan persatuan kali kedua yang dihadiri lebih 150 ahli, Ahad lalu.
Katanya, semua ahli Perkam tetap dengan pendirian dan konsisten memohon Menteri Besar dan kerajaan Johor meluluskan permohonan penukaran status tanah di Kampung Melayu Majide daripada TRM Pajakan Negeri 99 tahun menjadi hak milik kekal.
“Semua sebulat suara untuk mendapatkan kerjasama daripada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) di negeri ini untuk membawa isu TRM masuk dalam perbahasan di dalam sesi sidang DUN Johor di masa akan datang.
“Turut dipersetujui ialah kebenaran bagi Jawatankuasa Perkam membuat sebarang tindakan selagi di dalam ruang batas undang-undang termasuk membuat tuntutan di Mahkamah sekiranya semua ruang penyelesaian tertutup,” katanya dalam kenyataan.
April lalu, akhbar ini melaporkan lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee berada dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada TRM berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.
Status TRM Pajakan Negeri 99 tahun kampung berkenaan bakal berakhir pada 2053 atau 28 tahun lagi, sekali gus membuatkan penduduk bimbang masa depan mereka termasuk sama ada kampung berkenaan akan dibangunkan secara komersil.
Abdul Rahim berkata, pihaknya tidak menolak usaha pihak Pejabat Tanah dan Kerajaan dalam membuat kempen supaya pemilik-pemilik tanah Kampung Melayu Majidee membuat permohonan pemanjangan tempoh pajakan.
“Tetapi Perkam tetap berpendapat TRM Kampung Melayu Majidee dan Tanah- tanah Rizab Melayu lain perlu diberikan status hakmilik kekal selama-lamanya, sebagaimana kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Tambahnya, Perkam menolak dakwaan kononnya pihaknya mengenakan bayaran sehingga RM20,000 bagi menguruskan permohonan pemanjangan tempoh pajakan.-UTUSAN










