Mahasiswa UniSZA bersatu di bawah Jalur Gemilang

Mahasiswa UniSZA bersatu di bawah Jalur Gemilang

CHAN Jian Tsern (kiri) bersama sahabatnya mengibarkan Jalur Gemilang menjelang Hari Kebangsaan di Unversiti Sultan Zainal Abdidin, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai bendera, sebaliknya menjadi simbol penyatuan dan kebanggaan generasi muda hari ini.

Walaupun berbeza bangsa dan latar belakang, mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sepakat bahawa bendera negara melambangkan keberanian, kekuatan dan kebersamaan rakyat Malaysia yang merdeka sejak 1957.

Chan Jian Tsern, 18, pelajar semester satu Diploma Radiografi universiti itu berkata, setiap kali melihat Jalur Gemilang berkibar, timbul rasa bangga kerana ia menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

“Bila kami sama-sama pegang bendera, saya rasa seolah-olah semua perbezaan hilang. Kita tetap satu keluarga besar. Malaysia memang unik dan saya bersyukur kerana dilahirkan sebagai rakyat negara merdeka,” katanya ketika ditemui di sini. 

Rakannya, S. Nyanamu­ri­thi, 19, turut mengakui semangat kemerdekaan lebih terasa apabila bersama rakan-rakan pelbagai bangsa meraikan simbol negara itu.

Ujarnya, inilah sebenarnya maksud kemerdekaan iaitu dengan hidup aman dalam perbezaan. 

“Jalur Gemilang buat saya rasa dekat dengan semua orang. Ia tanda kita sama-sama berkongsi tanah air ini,” katanya.

Bagi Faizatul Aisyah Mus­taffa Kamal, 18, pelajar Diploma Pengajian Bank pula, semangat kebersamaan dapat dirasai apabila mahasiswa pelbagai kaum dapat mengangkat lambang negara bersama-sama.

“Bila kita sama-sama kibarkan Jalur Gemilang, rasa bangga itu sangat luar biasa.  Ia bukan sekadar kain, tapi turut melambangkan perjuangan dan persahabatan kita semua,” katanya.

Ahmad Sobirin Sugeng, 19, pelajar Diploma Pengurusan Sumber Manusia berkata, generasi muda harus menjadi contoh terbaik dalam mempertahan keharmonian negara.

“Kemerdekaan bukan ha­nya milik satu kaum. Jalur Gemilang ini milik semua. Sebagai anak muda, kami mahu terus mengekalkan semangat perpaduan agar negara terus aman dan maju,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN