GERIK: Lokasi nahas bas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dinaik taraf menerusi pemasangan lampu solar di kawasan tersebut.
Selain itu, perubahan ketara lain ialah penurapan semula jalan serta penghadang jalan yang sebelum ini remuk telah dibaik pulih susulan kemalangan pada 9 Jun lalu.
Berdasarkan tinjauan bermula dari bandar Gerik sehingga ke lokasi kemalangan tersebut sepanjang 60 kilometer, banyak kerja infrastruktur sedang dijalankan termasuk pemasangan lampu solar di kawasan selekoh dan laluan yang sempit.
Penduduk Gerik hanya mahu dikenali sebagai Sue, 39, melihat positif perkembangan tersebut demi mengelakkan kejadian itu berulang semula kepada pengguna jalan raya lain.
“Ini memberi keyakinan untuk pemandu di waktu malam. JRTB sudah lama tidak mengalami peningkatan taraf seperti ini dan agak terbiar. Hal ini menggembirakan kami yang sering mahu ke Jeli,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
JRTB Gerik-Jeli dibina ketika zaman komunis pada 1970-an merentasi hutan yang merupakan habitat utama gajah liar dan Harimau Malaya.
Seorang lagi penduduk di sini, Mohd. Fadzil Abdul Aziz, 48, menghargai kepantasan kerajaan dan Kementerian Kerja Raya atas sikap ambil berat dan pantas bertindak terhadap keperluan JRTB.
“Kini JRTB diterangi cahaya dan amat memudahkan pengguna. Malah sudah ada video tular yang memaparkan gajah boleh dilihat menerusi lampu solar yang dipasang,” katanya. – UTUSAN










