GEORGE TOWN : Lima sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan berasingan iaitu mengedar serta memiliki dadah jenis kanabis di Gelugor, dua minggu lalu.
Tiga daripada tertuduh iaitu Muhammad Khalis Abdul Kudus, 39, Amirul Din Abd. Aziz, 44, serta Mohd Firdaus Mohd Fodzi,40, berdepan pertuduhan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya manakala dua lagi tertuduh iaitu Mohd Ekmal Kamarudin, 47, dan Azhar Omar, 57, pula dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Khalis, Amirul Din dan Mohd Firdaus dituduh secara bersama mengedar dadah jenis kanabis seberat 29,902 gram di kawasan parkir hadapan rumah di Persiaran Sungai Gelugor 2, Gelugor, pada 15 Ogos lalu, kira-kira 11.50 malam.
Untuk pertuduhan kedua pula, Muhammad Khalis dan Amirul Din didakwa secara bersama-sama telah mengedar dadah jenis kanabis seberat 16,179 gram di lokasi yang sama seperti pertuduhan pertama pada 16 Ogos lalu, kira-kira pukul 12.50 tengah malam.
Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kesemua tertuduh mengangguk faham ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharain. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, Muhammad Khalis, Mohd Ekmal dan Azhar didakwa secara bersama-sama memiliki dadah jenis kanabis seberat 43.91 gram di bahagian ruang tamu sebuah rumah di Persiaran Sungai Gelugor 2, Gelugor, pada 15 Ogos lalu, kira-kira 11.30 malam.
Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A (1) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan itu, Mohd Ekmal dan Azhar mengaku bersalah manakala Muhammad Khalis pula membuat pengakuan tidak bersalah.
Lau Shavin kemudian menawarkan jaminan berjumlah RM8,000 terhadap setiap tertuduh, namun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah untuk menawarkan jaminan dalam jumlah yang rendah kepada mereka.
Majistret seterusnya menetapkan jaminan berjumlah RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin, manakala tiada jaminan ditawarkan kepada Muhammad Khalis memandangkan tertuduh mempunyai kes berkaitan dengan Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya.
Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, Amirul Din dan Mohd Firdaus tidak mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 2.96 gram.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 Akta yang sama serta dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Lau Shavin kemudian menawarkan jaminan berjumlah RM5,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Mahkamah seterusnya menetapkan wang jaminan berjumlah RM3,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 November depan sebagai tarikh sebutan semula kesemua kes yang melibatkan kelima-lima tertuduh.-UTUSAN










