Lima pemain merusuh ketika perlawanan bola sepak didakwa esok - Utusan Malaysia

Lima pemain merusuh ketika perlawanan bola sepak didakwa esok

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Lima pemain yang terlibat dalam insiden rusuhan ketika perlawanan bola sepak yang berlangsung di Padang Speedy Khamis lalu, akan didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan esok.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, pertuduhan ke atas pemain akan dikemukakan mengikut Seksyen 160 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan kita mendapat kebenaran untuk mendakwa kelima-lima suspek esok.

“Empat pemain akan didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar manakala seorang lagi di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada pengadil,” katanya di sini hari ini.

Menerusi laporan media pada 8 Ogos lalu, tujuh lelaki ditahan susulan pergaduhan ketika separuh masa kedua perlawanan bola sepak di Padang Speedy.

Difahamkan, kejadian pada pukul 5 petang itu bermula apabila seorang pemain melakukan terjahan keras terhadap pemain pasukan lawan sehingga mengakibatkan pertelingkahan antara mereka.

Pertelingkahan itu kemudian menyebabkan pergaduhan besar membabitkan semua pemain serta dua penonton selain pengadil yang turut diserang oleh beberapa individu.

Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN