PETALING JAYA : Lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dipercayai telah membocorkan maklumat kepada sindiket sehingga berlaku penyeludupan di perairan Selat Melaka sehingga Johor.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kebocoran maklumat membabitkan lima pegawai kanan termasuk Leftenan Kolonel menyebabkan operasi penguatkuasaan lain terjejas kerana sindiket dapat mengetahui gerakan pihak berkuasa.
Katanya, mereka menjalankan tugas sebagai pegawai risikan berhubungan isu-isu mendapatkan maklumat dan juga keselamatan terutama sekali berkaitan dengan isu-isu penyeludupan
“Menerusi Op Sohor, satu tindakan yang dijalankan oleh SPRM yang mana terbaharu membabitkan tangkapan lima anggota tentera. Ada sebahagian mereka dari ATM dan juga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Kalau betul kebocoran ini berlaku, ia sebenarnya satu faktor yang menyusahkan agensi penguat kuasa lain” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya Sprm (RTD) Tahun 2025 di sini, hari ini.
Azam berkata, lima pegawai kanan itu sepatutnya menjaga keselamatan negara dan melindungi maklumat strategik namun mereka pula menjadi pemudah cara kepada kegiatan penyeludupan.
“Mereka sepatutnya menjaga keselamatan negara, sepatutnya mereka menjaga maklumat dan juga berkongsi maklumat dengan agensi-agensi penguat kuasa,” jelasnya.








