GEORGE TOWN : Hasrat Penang FC untuk melakar kemenangan pertama dalam aksi Liga Super musim ini masih tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City (KL City FC) dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya, malam ini.
Bermula seimbang, pelawat bagaimanapun terlebih dahulu mencemaskan gawang tuan rumah pada minit ke-10. Bagaimanapun, percubaan penyerang kebangsaan, Muhammad Safawi Rashid sedikit tersasar ke sebelah kiri gawang.
Penang FC cuba melancarkan serangan balas selepas itu, namun, tendangan percuma oleh pemain tengah, Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-27 pula tersasar ke sebelah kanan pintu gol KL City.
Tersentak dengan asakan itu, pelawat kemudian memperkemaskan serangan mereka dan berjaya memperoleh gol sulung hasil rembatan deras Safawi dalam kotak penalti selepas menerima umpanan pemain tengah, Ryan Lambert pada minit ke-34.
Kl City FC berpeluang untuk menggandakan gol sebelum tamat separuh masa pertama, namun, penjaga gol tuan rumah, Khairulazhan Mohd. Khalid berjaya menepis cubaan pemain tengah pelawat, Nicolao Manuel sekali gus menyelamatkan gawang Penang FC daripada terus dibolosi.
Masuk babak kedua, skuad Harimau Kumbang mula melancarkan serang bertali arus ke kubu The City Boys dalam usaha mereka untuk memburu gol penyamaan.
Hasilnya, kapten, Stefano Brundo berjaya menanduk masuk gol tersebut yang berpunca daripada sepakan percuma yang diambil oleh pemain tengah, Dylan Wenzel-Halls pada minit ke-48.
Gol itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat Kl City FC untuk terus mengasak ke kubu Penang FC dan pemain pertahanan mereka, Mohamad Kamal Azizi berjaya menjaringkan gol kedua untuk pelawat menerusi satu sepakan deras yang gagal ditampan oleh Khairulazhan pada minit ke-77 perlawanan.
Pelawat hampir menambah derita tuan rumah menerusi gol ketiga sentuhan bekas pemain Penang FC musim lalu, Syamer Kutty Abba yang masuk sebagai pemain gantian, namun, gol tersebut dibatalkan akibat kekasaran beberapa minit sebelum perlawanan ditamatkan.
Penang FC cuba untuk bangkit pada minit-minit akhir perlawanan bagi memburu gol penyamaan, tetapi, keputusan 1-2 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.
Ini merupakan kekalahan kedua Penang FC dalam saingan Liga Super di tempat sendiri musim ini selepas tewas 0-3 kepada Terengganu FC dalam aksi pembukaan dan mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang Melaka FC, tempoh hari.-UTUSAN