Liga Super: Penang FC 'berputih mata' di laman sendiri

Liga Super: Penang FC ‘berputih mata’ di laman sendiri

PEMAIN Penang FC, Muhammad Ariff Farhan Md Isa (kiri) diasak oleh pemain TFC, Muhammad Ubaidulah Shamsul Fazili pada aksi Liga Super 2025 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Hasrat Penang FC untuk membuka tirai saingan Liga Super musim ini dengan noktah kemenangan tidak kesampaian apabila diaibkan Terengganu FC (TFC) 0-3 di Stadium Bandaraya, malam ini.

Bermula seimbang, tuan rumah bagaimanapun diasak hebat oleh pelawat seawal minit ketujuh perlawanan dalam usaha untuk memburu gol awal.

Bagaimanapun, beberapa peluang keemasan TFC khususnya menerusi percubaan penyerang, Kevin Mabella dan Akhyar Rashid berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Khairulazhan Mohd. Khalid.

Peluang terbaik Penang FC untuk membuka jaringan hadir pada minit ke-23. Bagaimanapun, rembatan deras Kipre Tchetche sempat dikuis keluar oleh penjaga gol pelawat, Suhaimi Husin.

Masuk babak kedua, skuad Penyu dilihat mula menggandakan asakan dengan melancarkan serangan bertali-arus ke kubu Harimau Kumbang untuk mencari gol.

Hasilnya, pemain pertahanan, Muhammad Azam Azmi berjaya merembat leret bola umpanan seorang lagi rakan pertahanannya, Safwan Mazlan untuk gol sulung perlawanan pada minit ke-49.

Selang lima minit kemudian, TFC terus ‘mengganas’ dengan gol kedua apabila rembatan pemain tengahnya, Gabriel Silva gagal ditampan kemas oleh Khairulazhan.

Ketika tuan rumah cuba untuk bangkit bagi merapatkan kedudukan, pemain gantian, Mohamad Khalai’f Naskam meledak gol ketiga pada minit ke-89 sekali gus mematikan terus harapan Penang FC untuk sekurang-kurangnya memperoleh gol sagu hati dalam perlawanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN