Lelaki warga emas maut tembak diri sendiri - Utusan Malaysia

Lelaki warga emas maut tembak diri sendiri

ANGGOTA polis di lokasi kejadian seorang lelaki warga emas maut dipercayai menembak diri sendiri di sebuah rumah di Jelapang di Ipoh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kejadian seorang lelaki warga emas maut dipercayai menembak diri sendiri di sebuah rumah di Jelapang semalam, tidak membabitkan sebarang elemen jenayah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas lelaki berusia 75 tahun itu mendapati punca kematian adalah disebabkan tembakan di dada.

“Berdasarkan keputusan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini, tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu.

“Kita telah memanggil beberapa individu termasuk ahli keluarga mangsa untuk dirakam percakapan. Siasatan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya di sini hari ini.

Menurut Abang Zainal Abidin, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 11.35 pagi dan pemeriksaan anggota di lokasi kejadian menemui seorang lelaki dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di atas kerusi kayu di luar rumah.

Katanya, hasil pemerhatian ke atas tubuh mangsa mendapati terdapat kesan dipercayai akibat tembakan di bahagian dada.

“Berdasarkan temubual dengan anak bongsu mangsa, lelaki itu ada menghubunginya pada pukul 10.35 pagi dan meminta dia datang ke rumah segera.

“Anak mangsa bagaimanapun meminta kakak iparnya datang ke rumah untuk melihat bapa mereka namun dia terkejut apabila diberitahu bahawa lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri di luar rumah,” katanya.

Tambah beliau, mangsa tinggal di rumah itu bersama isteri, anak lelaki sulung, menantu dan seorang cucu dan semasa kejadian tiada sesiapa di rumah.

“Berdasarkan maklumat daripada keluarga, mangsa menghidap kanser kolon tahap empat dan merupakan pemilik senapang `Baretta’ D81735B sejak 30 tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN