BUTTERWORTH : Seorang lelaki warga Vietnam yang cuba ‘menarik’ seorang bayi lelaki berusia 11 bulan sambil sebelah tangannya memegang pisau di sebuah pasar raya di Jalan Telaga Air, di sini, tengah hari tadi ditahan polis.
Difahamkan, insiden yang berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu bermula apabila penyelia premis tersebut melihat lelaki terbabit yang mahu melarikan diri dengan membawa beberapa makanan laut yang belum dibayar.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd. Rahman berkata, suspek pada mulanya berjaya ditahan sebelum dapat meloloskan diri.
“Penyelia terbabit kemudiannya berusaha sekali lagi untuk menangkap suspek sebelum suspek berkenaan bertindak ‘menarik’ seorang bayi lelaki berusia 11 bulan sambil memegang sebilah pisau.
“Berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa serta beberapa orang awam di lokasi kejadian. Suspek bagaimanapun akhirnya dapat ditangkap dengan bantuan beberapa pekerja lain yang kemudiannya bertindak menghubungi polis untuk tindakan susulan,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan selain Seksyen 324 dan 506 kanun sama.
Difahamkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth di sini esok untuk mendapatkan permohonan reman.
Terdahulu, tular beberapa keping foto dan rakaman video mengenai kejadian tersebut di media sosial.-UTUSAN