Lelaki Orang Asli hilang ketika cari hasil hutan - Utusan Malaysia

Lelaki Orang Asli hilang ketika cari hasil hutan

SHAZLEAN MOHD. HANAFIAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seorang lelaki Orang Asli dilaporkan hilang ketika mencari hasil hutan di Pulau Perhilitan Lama, Tasik Banding di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Runi Ager, 29, dilaporkan tidak ditemui rakannya selepas memaklumkan ingin membuang air besar.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, maklumat kehilangan mangsa diterima pihaknya semalam pada pukul 9.25 malam.

Katanya, berdasarkan maklumat, lelaki terbabit menaiki bot bersama rakan-rakan ke Tasik Banding untuk mencari hasil hutan dan makanan.

“Setibanya mereka di Pulau Perhilitan Lama, mangsa sakit perut dan ingin membuang air besar. Bagaimanapun, selepas beberapa lama, mangsa tidak kembali semula ke bot.

“Rakan mangsa cuba mencari di kawasan sekitar namun gagal menjumpainya. Ketika kejadian, lelaki tersebut hanya memakai seluar pendek berwarna merah dan tidak berbaju,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah diaktifkan dengan disertai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dan BBP Pengkalan Hulu.

“Unit Anjing Pengesan (K9) bomba juga akan digerakkan dalam operasi ini bagi membantu mengesan keberadaan mangsa. Setakat ini, operasi mencari mangsa sedang dijalankan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN