Lelaki Orang Asli hilang hampir 24 jam ditemukan selamat - Utusan Malaysia

Lelaki Orang Asli hilang hampir 24 jam ditemukan selamat

ANGGOTA bomba menjalankan operasi pencarian lelaki Orang Asli yang dilaporkan hilang di Pulau Perhentian Lama, Tasik Banding, Gerik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Lelaki Orang Asli yang dilaporkan hilang ketika mencari hasil hutan di Pulau Perhilitan Lama, Tasik Banding di sini kelmarin ditemukan selamat oleh orang awam semalam.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, lelaki berusia 29 tahun itu dijumpai di tebing pulau oleh orang awam yang menyertai pencarian menggunakan bot pada pukul 3.20 petang.

Katanya, mangsa ditemukan selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Jarak mangsa dilaporkan hilang dengan lokasi dia ditemui sekitar satu kilometer. Mangsa diserahkan oleh orang awam kepada pasukan penyelamat di lokasi mula pencarian iaitu di Jeti Pulau Perhilitan Lama.

“Pada pukul 4.08 petang, mangsa dibawa ke Jeti Trojen menggunakan bot polis dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diaktifkan selepas menerima maklumat insiden itu pada pukul 9.25 pagi semalam.

Katanya, operasi melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dan Pengkalan Hulu yang dipecahkan kepada dua kumpulan menggunakan dua buah bot disertai oleh pihak polis.

“Pusat kawalan bomba (PKB) dibuka di jeti Trojen Tasik Temenggor di mana jarak lokasi mangsa dilaporkan hilang adalah sejauh lapan kilometer dan mengambil masa selama 20 minit untuk tiba dengan menggunakan bot.

“Operasi pencarian melibatkan keluasan sejauh 14 kilometer persegi bermula dari Jeti Pulau Perhilitan Lama dan dilakukan mengikut dua laluan pulau sehingga ke bahagian tengah.

“Sebanyak tiga pusingan carian telah dilakukan secara bergilir di lokasi tersebut membabitkan anggota bomba, polis dan kakitangan Taman Negeri sehingga mangsa berjaya dijumpai pada pukul 3.20 petang tadi,” katanya.

Terdahulu, Shazlean memaklumkan, mangsa, Runi Ager dilaporkan hilang kelmarin apabila tidak kembali semula ke bot selepas membuang air besar sekitar pukul 3.30 petang.

Lelaki terbabit pergi ke ke Tasik Banding bersama rakan-rakannya untuk mencari hasil hutan dan makanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN