PASIR SALAK: Lebih RM10 juta diperlukan bagi kerja-kerja baik pulih dan menaik taraf Kompleks Sejarah Pasir Salak yang kian uzur dan berdepan kerosakan sejak beberapa tahun lalu.
Pegawai Khas Menteri Besar Perak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah, Khairul Azwan Harun berkata, permohonan peruntukan bagi kerja pemuliharaan kompleks itu dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan diharap dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
Katanya, dana berkenaan diperlukan bagi membaik pulih beberapa komponen penting termasuk Galeri Menteri Besar, rumah tradisi Perak atau Rumah Kutai dan Terowong Sejarah Pasir Salak.
“Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), saya telah memasukkan permohonan agar kerajaan Persekutuan dan negeri menaik taraf Kompleks Sejarah Pasir Salak dalam manifesto sebagai calon.
“Memang ada peruntukan diterima melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sekitar RM1 juta pada tahun 2023 namun ia masih tidak mencukupi. Ia digunakan untuk baiki Rumah Kutai yang telah usang dan beberapa kerosakan lain.
“Galeri Menteri Besar pula memang rosak sama sekali jadi ia memerlukan perbelanjaan besar. Saya fikir RM10 juta itu adalah angka minimum untuk pemuliharaan kompleks tersebut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Merdeka Sejahtera Madani di Dataran UMNO Kampung Gajah, di sini hari ini.
Menurut beliau, sebahagian komponen kompleks itu terpaksa ditutup dan hanya Terowong Sejarah Pasir Salak sahaja yang masih dibuka kepada pelawat.
Katanya, pemuliharaan kompleks yang menempatkan batu peringatan menandakan tapak Residen British Perak, J.W.W. Birch mati dibunuh itu amat penting kerana ia mempunyai nilai warisan penting untuk generasi akan datang.
Malah katanya, kompleks tersebut sebelum ini bukan sahaja menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara malah merancakkan ekonomi setempat.
“Dulu kawasan kompleks sejarah ini sentiasa dikunjungi pelancong, maka kegiatan ekonomi setempat dari segi keusahawanan termasuk jualan makanan tempatan dan produk keluaran kampung dapat dijual dengan banyak dan menembusi pasaran,” katanya.
Kompleks Sejarah Pasir Salak di Kampung Gajah yang dibina pada tahun 1990 itu merupakan inisiatif Tun Ramli Ngah Taib yang merupakan Menteri Besar Perak ketika itu.
Pada awal pembukaannya, kompleks tersebut menjadi tumpuan ramai pelancong tempatan dan luar negara namun kini semakin hilang seri ekoran struktur bangunan yang kian usang dan tidak lagi sesuai dikunjungi.
Antara tarikan utama kompleks yang terletak di tebing Sungai Perak itu ialah Terowong Sejarah yang memaparkan 42 diorama perjalanan sejarah negara, Rumah Kutai tradisional Perak, Galeri Keris serta Galeri Sejarah Menteri Besar Perak.
Kompleks ini turut dilengkapi dengan menara pandang, jam suria, dewan serbaguna dan pentas terbuka yang melengkapkan fasiliti pelancongan warisan. – UTUSAN