Lebih 2,000 peserta meriahkan Fun Run & Night Walk Alor Gajah - Utusan Malaysia

Lebih 2,000 peserta meriahkan Fun Run & Night Walk Alor Gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Program Fun Run & Night Walk Alor Gajah yang berlangsung pada 8 dan 9 Ogos lalu di Dataran Keris, di sini, mencatatkan penyertaan lebih 2,000 peserta dari pelbagai negeri.

Acara anjuran Strange Film Sdn. Bhd. dengan sokongan Tourism Malaysia itu menarik penyertaan warga dari Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Menurut penganjur, program seumpama itu bukan sahaja mampu merapatkan hubungan masyarakat, malah turut memberi impak positif terhadap kegiatan pelancongan setempat.

Tambahnya, acara tersebut selari dengan usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan diharap menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak program berasaskan rakyat untuk rakyat.

“Selain memupuk gaya hidup sihat, program seperti ini dapat menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan pada masa sama merancakkan sektor pelancongan setempat,” katanya.

Jelas penganjur, peserta dan pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan seni mempertahankan diri seperti silat, wushu dan silambam, yang mempamerkan kekayaan seni warisan pelbagai etnik.

“Selain acara larian, pengunjung juga berpeluang melihat pameran dan demonstrasi oleh pelbagai agensi, memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali lebih dekat peranan mereka,” ujarnya.

Dengan sambutan hangat tahun ini, Strange Film Sdn. Bhd. optimis untuk meneruskan penganjuran acara berskala besar demi menyemarakkan lagi aktiviti pelancongan dan keharmonian komuniti di Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN