PETALING JAYA: Tumpuan S P Setia Bhd. (Setia) terhadap pembangunan perbandaran mampan serta peluasan dalam taman perindustrian diunjur menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan berkata, lawatan ke Setia Alam dan Setia Alaman Industrial Park menunjukkan potensi besar model perbandaran bersepadu SP Setia selain segmen hartanah industri yang semakin berkembang.
Jelasnya, Setia Alam yang bermula pada 2004 meliputi kawasan seluas 1,022 hektar dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM10.6 bilion.
“Bandar matang itu kini berbaki 53 hektar tanah belum dibangunkan dengan GDV sekitar RM1.3 bilion, lengkap dengan sekolah, bank, pusat beli-belah, fasiliti perubatan dan kemudahan riadah.
“Ciri-ciri ini terus menyokong permintaan hartanah meskipun lokasinya kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur.
“Sumbangan jualan Setia Alam bagi tahun kewangan 2024 mencecah 3.5 peratus, dan projek di situ dijangka kekal berdaya tahan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Sementara itu, MBSB Research berkata, Setia mempercepatkan usaha ke arah pembangunan industri dengan sasaran 30 peratus daripada pendapatan jangka panjang kumpulan datang daripada segmen tersebut.
“Setia Alaman Industrial Park di Bukit Raja, seluas 161 hektar dengan GDV RM4 bilion, sudah merekodkan jualan RM859 juta sejak 2023.
“Bagi tahun kewangan 2025, projek ini dijangka menambah sekitar RM319 juta, terutamanya daripada jualan tanah.
“Selain itu, antara perkembangan di taman itu ialah kerjasama dengan Ally Logistic Property Co. Ltd. dari Taiwan untuk membangunkan kampus gudang pintar bernilai RM2.5 bilion secara model bina untuk disewa, dengan pembinaan dijangka bermula tahun kewangan 2026.
“Aset tersebut berpotensi menjana pendapatan berulang dan dimasukkan ke dalam dana amanah pelaburan hartanah (REIT),” katanya.
Dari segi kelestarian, firma itu berkata, Setia Alaman Industrial Park dibangunkan sebagai taman perindustrian hijau, dilengkapi panel solar atas bumbung, sistem tadahan air hujan, rawatan kumbahan moden, klausa sewaan hijau serta kesediaan untuk penyejukan daerah.
“Mengangkat prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan menjadi asas kepada penciptaan nilai jangka panjang Setia,” katanya.
MBSB Research mengekalkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2025 hingga 2027, namun menyemak harga sasaran kepada RM1.26 berbanding RM1.25 sebelum ini.
Saham Setia dinilai masih murah apabila diniagakan pada diskaun 62 peratus berbanding aset ketara bersih sesaham (NTA) terkini RM2.91. – UTUSAN










