ALOR GAJAH: Tindakan remaja lelaki mengintai melalui tingkap rumah jiran selepas panggilannya tidak berjawab membawa kepada penemuan mayat seorang wanita di Taman Seri Gamelan, Kuala Sungai Baru di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.44 malam itu, remaja berkenaan pada mulanya berasa hairan apabila mendapati lampu rumah mangsa menyala pada siang hari.
Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed berkata, remaja itu yang dalam perjalanan untuk mengaji cuba memanggil penghuni rumah, namun tidak bersahut sebelum menjenguk melalui tingkap.
“Dia terkejut melihat seorang wanita terbaring di lantai lalu segera menghubungi pihak berkuasa. Polis bersama bomba tiba tidak lama kemudian dan terpaksa memecahkan pintu sebelum menemui mangsa di ruang makan,” katanya hari ini.
Azrul berkata, pemeriksaan awal mengesahkan identiti mangsa yang dikenali sebagai Wan Mahanim Wan Muhammad, 58, telah meninggal dunia.
“Pesara Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) itu tinggal sendirian, tidak pernah berkahwin dan difahamkan kurang sihat sejak pulang menunaikan umrah.
“Tiada kesan kecederaan atau unsur jenayah dikesan pada tubuh mangsa dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – UTUSAN









