KUALA LUMPUR: Pelakon, Daniel Fong, 31, memaklumkan dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakonkan aksi tidak berbaju menerusi beberapa babak dalam drama terbarunya, Kerana Seorang Lelaki.
Malah katanya, dia selesa serta tidak pernah merasakan dirinya terpaksa meskipun tindakannya itu berpotensi mengundang kritikan netizen.
“Saya tak ada masalah dengan perkara itu. Tambahan pula, ini bukan pertama kali saya tampil tidak berbaju dalam drama.
“Tapi apa yang saya lakukan ini bukannya dengan niat untuk tayang badan kepada umum. Sebaliknya saya ikut skrip. Lakonan tidak berbaju itu dibuat apabila ada keperluan sahaja.
“Contoh dalam drama Kerana Seorang Lelaki, saya berlakon tanpa memakai baju ketika babak dalam rumah. Keadaan itu normal,” kongsinya ketika pelancaran drama tersebut, baru-baru ini.
Daniel dalam pada itu menegaskan tindakan tidak berbaju dalam lakonan adalah atas kerelaan sendiri dan bukan paksaan pihak lain.
“Semua pengarah akan tanya saya terlebih dahulu, adakah saya okey melakukannya.
“Saya tak ada masalah dan tidak pernah dipaksa sesiapa,” ujarnya.
Kerana Sorang Lelaki arahan Michael Ang turut dibintangi Harissa Adlynn, Marissa Yasmin, Soo Wincci, Nabil Aqil, Steve Yap dan ramai lagi.
Drama tersebut ditayangkan sejak 11 Ogos lalu di saluran Astro Prima.- UTUSAN










