KUALA TERENGGANU: Ketika ribuan peminat Yamaha RXZ berkumpul pada acara tahunan RXZ Member hujung minggu ini, seorang pemuda tampil bukan sekadar pemerhati, sebaliknya mengambil peluang berniaga cenderamata bertema motosikal lagenda itu bagi menjana pendapatan tambahan.
Rifdi Imran Roslin, 33, dari Kampung Padang Midin, berniaga cenderamata itu sejak empat tahun lalu dengan konsisten membuka gerai jualan khas pada program dua hari berkenaan.
Peniaga sate itu berkata, untuk edisi kali ini, dia melabur RM15,000 menyediakan pelbagai barangan jualan termasuk cenderamata eksklusif berbentuk patung penyu, iaitu simbol ikonik negeri Terengganu dengan sentuhan istimewa.
“Sebanyak 100 patung penyu bercorak batik, 100 patung penyu berwarna-warni dan kira-kira 3,000 unit rantai kunci bertemakan RXZ saya sediakan tahun ini. Semua stok ini disiapkan lebih awal sejak beberapa bulan lalu.
“Setiap tahun memang saya nantikan program ini. Ia bukan sekadar peluang berniaga tetapi platform untuk saya berinteraksi dengan peminat RXZ dari seluruh Malaysia,” katanya.
Rifdi membuka gerai jualan di Dataran Drawbridge yang saban tahun menjadi tumpuan ribuan pengunjung selain turut memasarkan produknya secara dalam talian.
Mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya, Tengku Norhayati Tengku Mansor, 27, Rifdi berkata, produk patung penyu batik adalah keluaran terbaharu tahun ini dan disifatkan sebagai kelainan berbanding sebelum ini.
“Penyu batik ini menggabungkan elemen kebudayaan Terengganu dengan semangat RXZ,” katanya.
Cenderamata berkenaan turut membawa imej dan nilai sentimental terhadap komuniti peminat RXZ yang terkenal dengan semangat setia kawan dan nostalgia zaman kegemilangan motosikal dua lejang itu. – UTUSAN








