PETALING JAYA: Tidak lari dari menjadi mangsa buli siber, pelakon, Mira Filzah tampil mempertahankan anaknya, Wan Khair Amir yang menerima kritikan netizen kerana fizikalnya terlampau kurus.
Tegas Mira atau Nur Amirah Filzah Badioezaman, 32, putera kesayangannya itu mewarisi genetik keluarga suami yang memiliki tubuh badan kurus tinggi.
“Orang cakap anak nampak kurus, macam kurang makan. Eh, awak semua Ini, komen macam-macam. Gemuk salah, kurus pun salah.
“Amir ini tinggi dan kurus sebab ikut bapa dia serta bapa-bapa saudaranya. Mereka semua tinggi enam kaki ke atas,” katanya.
Dalam masa sama, bintang drama Mandul Bukan Pilihan itu juga menyifatkan putera kesayangannya memiliki bentuk tubuh yang ideal dan normal bagi kanak-kanak yang aktif pada usia tiga tahun.
“Dari kecil lagi badan Amir memang tinggi, sedangkan usianya baru tiga tahun lebih.
“Ada saja yang tak kena di mata orang. Makan banyak pun nanti buang air banyak juga.
“Lagi pula dia budak lelaki, setiap malam lepas mandi pun berpeluh sebab ligat bermain. Itu perkara biasa,” ujarnya.
Bersetuju dengan kenyataan aktres tersebut, rata-rata peminat menasihatkan Mira untuk mengendahkan setiap kecaman yang dilemparkan terhadap putera kesayangannya.
“Tak payah peduli kata orang, Mira. Anak saya pun kurus tinggi macam tu, tapi sihat saja,” tulis seorang netizen.
“Setiap anak tak sama, ada yang berisi, ada yang kurus. Asalkan sihat, itu paling utama,” kongsi seorang pengguna media sosial.
Untuk rekod, Mira mendirikan rumah tangga bersama Wan Emir Astar Wan Mohammad Khairil Anuar pada 3 September 2020 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Wan Khair Amir yang kini berusia tiga tahun.-UTUSAN