CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan dan manfaat kecerdasan pintar (AI) tidak mengabaikan nilai agama, budaya tempatan, kepercayaan dan nilai kemanusiaan.
Perdana Menteri berkata, pendedahan AI kepada negara amat penting dan kerajaan tiada pilihan jika ingin menguasai kejayaan pada masa depan.
“Jika negara ini mahu menguasai kejayaan, kita harus bergerak seiring dengan masa termasuk menguasai digital, teknologi dan AI.
“Bagaimanapun, itu tidak bermaksud kita harus bergantung pada teknologi barat sebaliknya kita harus mempunyai kebijaksanaan untuk menguasai dan mengimbanginya dengan nilai kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) Universiti Multimedia (MMU) di sini, hari ini.
Justeru, katanya, Malaysia harus melahirkan bakat dalam kalangan orang muda supaya mereka dapat menguasai teknologi baharu ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, penerapan teknologi baharu seharusnya berpaksikan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keberhasilan menyeluruh kepada rakyat.
“Laporan badan antarabangsa termasuk United Nations University jelas menunjukkan wujudnya fenomena AI Productivity Paradox, iaitu pelaburan besar terhadap teknologi digital dan AI tetapi tidak membawa kepada peningkatan ketara produktiviti.
“Kita tidak mahu mengulangi kesilapan masa lalu ketika projek penswastaan, konon untuk lebih cekap dan menjimatkan, tetapi akhirnya terpaksa diselamatkan kerajaan dengan kos tinggi kerana tadbir urus yang lemah,” katanya.
Jelasnya lagi, pelaksanaan teknologi digital harus diseimbangkan dengan pendekatan yang mengambil kira keadilan sosial dan nilai kemanusiaan supaya jurang kesenjangan bandar, luar bandar, kaya dan miskin serta akses pendidikan tidak terus melebar.
“Kita mesti ‘raise the ceiling’ iaitu meningkatkan keupayaan teknologi negara, tetapi dalam masa sama ‘raise the floor’ supaya rakyat bawahan turut menerima manfaatnya.
“Tanpa tatakelola baik, hasilnya hanya menguntungkan segelintir. Sebagai contoh penswastaan Malaysia Airlines dulu, diswastakan dengan kaedah yang tidak telus, lingkup berbillion, baru dalam dua tiga tahun ini naik semula,” katanya. – UTUSAN