KUALA LUMPUR: Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi ASEAN (ARCEOs’) yang dianjurkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menghimpunkan lebih 100 pemimpin industri kereta api, wakil organisasi kerajaan dan pakar industri dari seluruh ASEAN.
Persidangan bermula 8 hingga 12 September 2025 itu akan disertai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kereta api dan wakil organisasi dari negara termasuk Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, persidangan ini menjadi platform utama untuk memperkukuh kerjasama, berkongsi pandangan serta memacu pertumbuhan mapan industri kereta api di rantau ini.
“Program bersepadu merangkumi mesyuarat peringkat eksekutif, sesi teknikal dan operasi, pameran, lawatan teknikal serta pelbagai aktiviti kebudayaan dan jaringan profesional yang memperkukuh kerjasama hubungan serantau,” katanya ketika Majlis minum petang penghargaan perpaduan dan kerjasama, semalam.
Sebelum ini, Indonesia menjadi tuan rumah ARCEO’s yang berlangsung pada 2 hingga 6 September 2024.
Menurut Ahmad Nizam, tahun ini format baharu diperkenalkan iaitu perbincangan panel yang dikendalikan pakar industri, bertujuan menggalakkan penglibatan lebih erat serta memberi peluang kepada rakan kerjasama berhubung terus dengan pemimpin kereta api ASEAN.
“Kejayaan ARCEOs’ dibina atas asas perkongsian. Kerjasama semua pihak berupaya memposisikan pengangkutan kereta api sebagai pilihan utama yang efisien, boleh dipercayai, selamat dan mampan, bukan sahaja untuk ASEAN, malah sebagai jaringan pengangkutan antarabangsa,” katanya.-UTUSAN