KPM laksana audit keselamatan segera di semua institusi pendidikan

KPM laksana audit keselamatan segera di semua institusi pendidikan

MOHD. AZAM AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan segera audit keselamatan secara menyeluruh di semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian bagi memastikan aspek keselamatan murid sentiasa terpelihara.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, audit tersebut akan memberi tumpuan kepada tahap pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan, selain mengkaji semula garis panduan sedia ada agar kekal relevan dengan keperluan semasa.

“Hasil laporan audit akan dibentangkan kepada Pengurusan Tertinggi KPM dalam tempoh tiga bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, langkah itu antara tindakan penting yang diambil KPM bagi memastikan isu keselamatan di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya kekal terjamin.

Selain audit keselamatan, sistem aduan sedia ada termasuk portal Aduan Buli akan direformasikan dengan ciri baharu yang membolehkan pengadu atau saksi membuat laporan secara anonim bagi melindungi identiti mereka.

KPM juga akan menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan melibatkan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar pelbagai bidang, pihak polis serta Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) bagi memperkasa aspek keselamatan sekolah.

Menurut Mohd. Azam, tiada kompromi terhadap salah laku buli dan tindakan tegas akan diambil termasuk hukuman gantung atau buang sekolah.

Bagi murid yang digantung sekolah, KPM akan memperkenalkan program intervensi ‘Bangkit Bermaruah’ yang memberi fokus kepada khidmat komuniti dan pembangunan sahsiah.

“Pentadbir, guru serta pegawai di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri yang gagal menguruskan aduan buli mengikut garis panduan sedia ada akan dikenakan tindakan.

“Aspek sokongan psikososial juga akan diperkukuhkan demi kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” katanya.

Jelasnya, Guru Bimbingan dan Kaunseling akan memainkan peranan penting dalam pencegahan serta intervensi menangani salah laku buli, manakala semua pihak diseru untuk berganding bahu memastikan gejala tersebut dapat dibanteras secara menyeluruh dan bersepadu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN