KPM junjung titah Agong bendung buli di semua institusi pendidikan

KPM junjung titah Agong bendung buli di semua institusi pendidikan

Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keperluan untuk membendung salah laku buli. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keperluan untuk membendung salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.

KPM dalam kenyataan memaklumkan, titah Seri Paduka Baginda menjadi peringatan kepada seluruh warga KPM untuk menangani salah laku buli yang memberi implikasi negatif kepada seluruh masyarakat dan negara.

“KPM menjunjung titah Seri Paduka Baginda untuk melaksanakan kempen anti-buli secara menyeluruh di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya bermula di peringkat sekolah rendah.

“Ini termasuk dengan memberi kesedaran dan memupuk sikap untuk saling menghormati antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KPM,  nilai hormat, disiplin dan kasih sayang akan diterapkan dalam diri setiap murid.

Jelasnya, pelaksanaan kempen ini akan dilakukan dengan kerjasama rentas kementerian bagi memastikan impak dan keberkesanannya.

“Kebersamaan semua pihak adalah dituntut dalam memerangi salah laku buli.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membentuk generasi masa hadapan yang cemerlang dengan nilai dan akhlak mulia,” katanya.

KPM menjelaskan, pada waktu ini KPM sedang merangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi tumpuan kepada aspek pendidikan karakter.

Katanya, ia merangkumi pembinaan nilai-nilai manusiawi untuk melahirkan insan yang beradab, berakhlak dan berintegriti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN