PARIT: Usaha membangunkan Kompleks Sukan Seri Iskandar di sini berdepan kekangan berikutan tapak cadangan bagi pembinaan itu memerlukan kerja rawatan tanah dengan kos yang tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah yang mengulas laporan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengenal pasti tapak alternatif cadangan pembinaan kompleks sukan di Seri Iskandar berkata, perkara itu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum proses permohonan dibawa dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Cadangan pembinaan kompleks sukan ini mula diperjuangkan sejak tahun 2018 di bawah pimpinan bekas Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria sebelum diteruskan oleh barisan exco selepas itu.
“Jadi proses ini telah dimulakan daripada awal di mana kita telah buat lawatan ke tapak pertama dan alternatif untuk melihat dari segi kesesuaian dan sebagainya. Setakat ini proses perbincangan masih berjalan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Konvoi Merdeka Klasik Mercedes Benz (GPMP) 2025 sempena 50 Tahun Jubli Emas Felcra Nasaruddin di Dataran Cempaka Sari, di sini hari.
Menurut Khairudin, beliau yakin pembinaan kompleks itu akan dimasukkan sebagai salah satu projek keutamaan dalam RMK13 selepas isu teknikal tapak diselesaikan.
“Saya cukup yakin JBS Perak dan bahagian pembangunan akan menjadikan pembinaan kompleks sukan ini sebagai keutamaan dalam RMK13 nanti,” katanya.
Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abdul Halim dilaporkan berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak bagi mengenal pasti tapak alternatif cadangan pembinaan kompleks sukan di Seri Iskandar.
Sementara itu, Khairudin berkata, kes buli dalam kalangan pelajar di negeri ini masih berada pada tahap terkawal dan tidak membimbangkan.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sentiasa menjadikan kes buli sebagai keutamaan dengan membincangkannya dalam mesyuarat bulanan bagi memastikan ia ditangani secara berkesan.
“Kita tidak mahu kejadian yang menimpa Allahyarham Zara Qairina Mahathir berlaku di negeri ini. Alhamdulillah, berdasarkan dapatan daripada Unit Pembangunan Murid JPN, kes buli di Perak tidak berada di tahap membimbangkan.
“Malah, dalam masa terdekat ini tiada lagi kes buli yang serius. Saya yakin kepimpinan sekolah khususnya pengetua dan guru besar sentiasa mengambil inisiatif terperinci dalam menangani kes buli dengan baik,” katanya. – UTUSAN